Ceara Selangor Futsal 2024

Prestasi Menakjubkan Selangor Terhenti Di Semifinal

Nampaknya, langkah Selangor di Ho Chi Minh City Futsal Open 2023 terhenti selepas dibenam Sahako 2-9 di separuh akhir, sebentar tadi.

Perit untuk ditelan tatkala mereka cemerlang di peringkat kumpulan selepas menjuarai Kumpulan B dengan sembilan mata. Mereka menang 2-0 ke atas Thai Son Nam (Vietnam), 5-2 ke atas Blackpearl United (Thailand) dan 3-0 ke atas Savinest Khanh Hoa (Vietnam).

Apa yang menakjubkan adalah Kumpulan B melibatkan dua pasukan elit dari Thailand dan Vietnam iaitu ‘top 3’ Liga Futsal Thailand, Blackpearl United dan juara Liga Futsal Vietnam yang baru sahaja dinobat, Thai Son Nam. Selangor melaluinya dengan sangat mudah.

Melihatkan prestasi tersebut, Selangor dijangka akan mudah menjinakkan naib juara Liga Futsal Vietnam, Sahako di separuh akhir.

Kesudahannya mereka tunduk 2-9 kepada Sahako yang bakal bertemu Thammasat Stallion (Thailand) di pentas final, Jumaat nanti.

Adakah kehilangan tiga tonggak sebelum perlawanan tersebut menjadi punca kepada kekalahan besar mereka kepada Sahako?

Mereka terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Muhammad Syawal, Aidil Shahril dan Imran Shamsudin yang pulang ke tanah air atas faktor urusan keluarga. Bukan hanya selamat tinggal buat ketiga-tiga pemain itu, Selangor juga terlepas peluang menjulang trofi.

Begitupun, ia kejohanan yang pasti akan diingati mereka. Prestasi pasukan dilihat memberangsangkan selepas penyertaan beberapa muka baharu antaranya Imran Shamsudin, Helmi Imran, Firdaus Zulkefli, Farikh Khabibor Rahman dan Khaiyum Khaimi termasuk import baharu.

Ketika kejohanan berlangsung, mereka secara rasminya mengumumkan penyertaan bekas pemain Shah Alam City, Well Pereira.

Beliau cemerlang pada musim lalu apabila meledak 24 gol dan turut berjaya menghasilkan 10 ‘assist’ dalam semua pertandingan.

Impak yang diberikan sangat memberangsangkan tatkala membantu Selangor dengan meledak lima gol dalam tiga perlawanan.

Dengan itu, Selangor akan bertemu Thai Son Nam di penentuan tempat ke-3 dan ke-4. Mereka sebelum itu tewas 1-4 kepada Thammasat Stallion di satu lagi aksi separuh akhir. Kedua-dua perlawanan akan berlangsung pada Jumaat di Stadium Tertutup Lanh Binh Thang.

Start a Conversation