SINTOK, KEDAH – Tirai saingan Liga Futsal IPT 2026 akhirnya melabuhkan tirainya semalam di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok selepas beberapa hari menyaksikan aksi kompetitif membabitkan institusi pengajian tinggi terbaik negara.
Bagi kategori Lelaki Liga Super, UiTM sekali lagi membuktikan status mereka sebagai kuasa besar futsal IPT apabila berjaya merangkul kejuaraan buat kali kelapan (8) dalam sejarah kejohanan. Kejayaan itu mengukuhkan lagi reputasi UiTM sebagai pasukan paling dominan di pentas Liga Futsal IPT.

Naib juara menjadi milik UniKL yang mempamerkan peningkatan memberangsangkan apabila memperbaiki pencapaian musim lalu dengan melonjak ke tangga kedua selepas sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga pada edisi 2025. Sementara itu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melengkapkan kedudukan podium dengan menamatkan saingan di tempat ketiga.
Kejayaan UiTM turut diserikan apabila pemain mereka, Ahmad Azrai Afiq Awang, dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga Super hasil persembahan cemerlang sepanjang kejohanan. Penjaga gol UiTM, Muhammad Addin Naufal Rahmad pula membawa pulang anugerah Penjaga Gol Terbaik selepas menjadi benteng utama pasukan.












Bintang muda UniKL, Muhammad Asyraf Mohammad Tuah, menerima pengiktirafan sebagai Pemain Muda Harapan, manakala pemain Universiti Malaya (UM), Yslamgeldi, muncul sebagai Penjaring Terbanyak Liga Super selepas mempamerkan ketajaman di hadapan pintu gol.
Dalam saingan Lelaki Liga Perdana pula, KPTM Bangi berjaya muncul juara selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang kejohanan. UKM menamatkan saingan sebagai naib juara, manakala UTHM melengkapkan tiga pasukan terbaik dengan menduduki tempat ketiga.
Penguasaan KPTM Bangi diteruskan dalam senarai anugerah individu apabila Iqbal Hazim Radzi dipilih sebagai Pemain Terbaik Liga Perdana, manakala rakan sepasukannya Muhammad Haziq Borhanudin dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik.
Anugerah Pemain Muda Harapan menjadi milik Sarhan Anwar Maolani dari UKM, sementara Muhammad Hafiz Jaafar dari UKM muncul sebagai Penjaring Terbanyak Liga Perdana hasil aksi konsisten sepanjang kempen.
Bagi kategori Wanita pula, UiTM turut meneruskan kecemerlangan apabila berjaya muncul juara, sekali gus melengkapkan kejayaan berganda buat institusi tersebut di Liga Futsal IPT 2026. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menamatkan saingan sebagai naib juara, manakala MSU Futsal dan Universiti Malaya masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.
Prestasi cemerlang UiTM dalam saingan wanita turut diiktiraf apabila pemainnya, Ku Nuwairah Ku Mahadzir, dinobatkan sebagai Pemain Terbaik selepas mempamerkan aksi konsisten dan berpengaruh sepanjang kejohanan.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Puan Fazidah Binti Mustafa, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang turut diiringi oleh Pengarah Pusat Pembangunan Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Roestam Effendi Sijar.
Menurut Pengarah Kejohanan, Asyraf Fitri Bin Asbollah, penganjuran edisi kali ini berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Liga Futsal IPT 2026 berjalan dengan baik seperti apa yang kita rancangkan dan berjaya mencapai objektif penganjuran. Diharapkan edisi yang akan datang akan menjadi lebih meriah dengan penyertaan yang lebih ramai serta peningkatan kualiti pertandingan,” katanya.
Selain menjadi medan perebutan kejuaraan, Liga Futsal IPT terus memainkan peranan penting dalam pembangunan futsal universiti di Malaysia. Kejohanan ini bukan sahaja menjadi pentas terbaik buat atlet-atlet institusi pengajian tinggi beraksi di peringkat kompetitif, malah menjadi platform utama untuk mencungkil bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Penganjuran Liga Futsal IPT turut memberi pendedahan menyeluruh kepada mahasiswa dalam aspek pengurusan pasukan, kejurulatihan, pengadilan, kesukarelawanan serta pengurusan acara sukan. Ia sekali gus melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang sebagai atlet, malah memiliki pengalaman dalam pelbagai aspek industri sukan.
Menariknya, Liga Futsal IPT 2026 turut mencatat sejarah apabila Volunteer Support Crew (VSC) kejohanan merekodkan jumlah penyertaan atlet dan sukarelawan tertinggi berbanding semua penganjuran VSC2 sebelum ini. Pencapaian tersebut membuktikan minat dan komitmen warga IPT terhadap pembangunan futsal serta pengurusan acara sukan terus meningkat dari tahun ke tahun.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2010, Liga Futsal IPT kekal sebagai satu-satunya kejohanan futsal utama institusi pengajian tinggi yang masih dianjurkan secara konsisten sehingga hari ini. Kelangsungan penganjurannya mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh ekosistem futsal universiti di negara ini.
Lebih penting, kejohanan ini turut menjadi platform persediaan terbaik buat barisan pemain yang bakal mewakili Malaysian University ke temasya ASEAN University Games 2026, sekali gus memastikan skuad negara berada pada tahap terbaik untuk bersaing di pentas antarabangsa.
