Sejak format playoff diperkenalkan dalam MPFL musim 2026, ada yang mula mempersoalkan sama ada format ini benar benar sesuai untuk saingan liga futsal negara.
Arena Futsal melihat format ini mempunyai kelebihan dan kekurangan. Namun kali ini, kita tidak mahu bercakap tentang kekurangannya.
Kita mahu lihat apa kelebihan yang telah dirasai sepanjang musim ini.
Umumnya kita tahu, MPFL mempunyai dua kelompok pasukan yang agak berbeza dari segi kualiti dan kekuatan skuad.
Selangor, JDT dan Pahang berada dalam kelompok atasan yang bersaing hebat sesama mereka. Dalam format liga biasa, dominasi kelompok atasan ini berpotensi menyebabkan persaingan kejuaraan mula kelihatan lebih awal.
Tetapi dengan adanya playoff, kita terpaksa menunggu sehingga penghujung musim untuk mengetahui siapa yang benar benar layak bergelar juara.
Ini secara tidak langsung mengurangkan risiko saingan liga menjadi terlalu mudah dijangka.

Juara tidak ditentukan terlalu awal.
Setiap pasukan juga mendapat jumlah perlawanan yang lebih banyak. Ini bermakna lebih banyak minit permainan untuk pasukan dan secara tidak langsung lebih banyak peluang untuk pemain berada di atas gelanggang.
Namun jumlah perlawanan yang meningkat datang bersama cabaran tersendiri.
Pasukan perlu lebih bijak mengurus skuad.
Rotasi pemain menjadi semakin penting kerana risiko kecederaan meningkat, selain risiko penggantungan akibat kutipan kad.
Dan di sinilah kita melihat satu lagi kesan yang cukup menarik.
Pemain muda dan pemain simpanan mula mendapat lebih banyak peluang.
Apabila jumlah perlawanan bertambah dan pengurusan skuad menjadi semakin penting, jurulatih tidak boleh hanya bergantung kepada kelompok pemain utama sepanjang musim.
Pemain yang sebelum ini mungkin hanya menunggu di bangku simpanan mula diberi minit permainan.
Pemain muda pula mendapat pengalaman bermain dalam pertandingan kompetitif pada tahap tertinggi.
Bagi kami, ini adalah salah satu kesan paling besar daripada format ini.
Kerana pembangunan pemain bukan hanya tentang latihan.
Ia juga tentang peluang untuk bermain.
Lebih banyak minit permainan bermakna lebih banyak pengalaman, lebih banyak situasi yang perlu dihadapi dan lebih banyak ruang untuk seseorang pemain berkembang.
Adakah format playoff ini sempurna?
Sudah tentu tidak.
Tetapi sebelum kita menghukum sesuatu format, mungkin kita juga perlu melihat apa yang telah berjaya dihasilkannya.
Dan untuk musim 2026, salah satu perkara yang jelas kelihatan ialah lebih banyak perlawanan, lebih banyak minit permainan dan lebih banyak peluang untuk pemain berkembang.
Mungkin itu antara perkara yang wajar kita bincangkan juga.
