Analisis: Mengapa Bukhari Menjadi Buruan JDT Futsal?

JOHOR BAHRU: Perpindahan penyerang ATM Futsal, Bukhari Samsudin ‘Pacat’, ke JDT Futsal antara cerita terbesar jendela perpindahan kedua MPFL 2026 apabila skuad Harimau Selatan dilihat berjaya mendapatkan pemain yang mempunyai profil taktikal cukup spesifik.

Dalam masa sama, JDT turut meminjamkan pemain kebangsaan, Danial Dain, ke ATM Futsal bagi baki saingan musim ini.

Namun, persoalan utama yang menjadi bualan peminat futsal ialah mengapa JDT begitu berminat mendapatkan Bukhari? Adakah perpindahan itu turut melibatkan nilai yuran perpindahan yang tinggi?

Setakat ini, tiada sebarang pengesahan rasmi mengenai nilai perpindahan tersebut. Bagaimanapun, prestasi semasa Bukhari menjadikan beliau antara aset paling bernilai dalam pasaran MPFL ketika ini. Pemain berusia muda itu kini telah menjaringkan 9 gol daripada 7 perlawanan, sekali gus berada di tangga keempat penjaring terbanyak MPFL 2026.

Apa yang lebih menarik, JDT dipercayai bukan sekadar mendapatkan seorang penjaring gol, sebaliknya mahu menyelesaikan kekurangan taktikal yang dihadapi mereka sejak awal musim.

Skuad kendalian JDT ketika ini memiliki dua pivot utama iaitu Awaluddin dan Ekhmal, namun kedua-duanya merupakan pemain yang lebih dominan menggunakan kaki kiri. Situasi itu menyebabkan variasi serangan JDT di posisi pivot menjadi agak terhad, khususnya ketika membina serangan dari bahagian strongside kanan.

Di sinilah kelebihan Bukhari menjadi faktor utama.

Sebagai seorang pivot berkaki kanan, beliau mampu memberikan dimensi berbeza kepada corak serangan JDT menerusi sudut penerimaan bola, orientasi badan serta pilihan penyudah yang lebih pelbagai.

Selain itu, Bukhari turut dikenali sebagai pemain yang memiliki rembatan cukup kuat dari jarak sederhana. Sebahagian besar golnya musim ini hadir menerusi percubaan sekitar 10 hingga 12 meter, menjadikannya ancaman walaupun berada di luar kawasan pivot tradisional. Dengan kehadiran Bukhari, JDT dijangka mampu menambah variasi dalam attacking connection, khususnya ketika menggunakan pivot di sebelah kanan bagi memecahkan blok pertahanan lawan.

Sementara itu, perpindahan Danial Dain secara pinjaman ke ATM Futsal turut dilihat sebagai situasi menang-menang buat kedua-dua kelab.ATM memperoleh pemain kebangsaan yang mempunyai pengalaman bersama JDT, manakala Danial pula berpeluang mendapatkan lebih banyak minit permainan dan memainkan peranan lebih besar sepanjang baki musim.

Walaupun nilai perpindahan masih menjadi tanda tanya, satu perkara jelas , JDT bukan sekadar membeli seorang penjaring gol, tetapi mendapatkan pemain yang memenuhi keperluan taktikal mereka dalam usaha memperkukuhkan jentera serangan bagi memburu kejuaraan MPFL 2026.