TOKYO, JEPUN – Jepun sekali lagi memperlihatkan pendekatan kreatif dalam mempromosikan sukan futsal menerusi penganjuran F.GAME 7, sebuah acara futsal berkonsepkan hiburan yang menghimpunkan pemain-pemain dari pelbagai negara termasuk beberapa nama besar dalam arena futsal antarabangsa.

Dianjurkan oleh ASHISAL FC, F.GAME merupakan sebuah acara yang digerakkan oleh tiga orang influencer yang mengambil inisiatif mengumpulkan pemain-pemain futsal Jepun, termasuk bekas pemain kebangsaan, untuk menyertai perlawanan persahabatan dengan pendekatan yang berbeza daripada pertandingan futsal konvensional.
Acara ini lazimnya dianjurkan sebanyak dua kali setahun dan kini telah berkembang sehingga edisi ketujuh.
Menariknya, perjalanan ASHISAL FC dalam enam edisi terdahulu menyaksikan mereka tidak pernah mengalami kekalahan. Kesemua enam edisi tersebut berakhir dengan kemenangan buat ASHISAL FC.
Bagaimanapun, rekod kemenangan tersebut akhirnya terhenti apabila ASHISAL FC mengalami kekalahan pertama mereka dalam F.GAME 7.
Enam pemain Malaysia mewarnai pentas antarabangsa
Antara perkara menarik dalam edisi kali ini ialah penglibatan enam pemain Malaysia yang mendapat peluang beraksi bersama barisan pemain antarabangsa.
Pemain yang mewakili Malaysia termasuk Syahir Iqbal dari Selangor FC dan Amirul Khairudin dari Pahang Rangers.Turut disenaraikan ialah Yazid Kamarzuan, Habibi Sultan, Rozaimi Rahamat serta Fakhrul Akram.
Kehadiran pemain-pemain ini memberikan satu lagi ruang pendedahan kepada bakat futsal Malaysia untuk beraksi dalam persekitaran antarabangsa yang menghimpunkan pemain dari pelbagai latar belakang dan pengalaman.
Malaysia turut mempunyai wakil dalam barisan kejurulatihan
Tidak hanya pemain, Malaysia turut mempunyai penglibatan dalam barisan kejurulatihan pasukan.
Pasukan ini dikendalikan oleh Amirul Hakim Mohamad selaku Ketua Jurulatih, dibantu Loganrajah Bin Kanaga Vitayan sebagai Penolong Jurulatih.Barisan teknikal turut diperkuatkan Muhammad Farhan dari Singapura dan Telly Sarendra dari Indonesia yang bertindak sebagai Jurulatih Penjaga Gol.
Gabungan ini memperlihatkan kerjasama tenaga teknikal dari Malaysia, Singapura dan Indonesia dalam sebuah projek futsal berorientasikan antarabangsa.
Barisan bintang antarabangsa
F.GAME 7 turut menampilkan beberapa nama besar dalam dunia futsal antarabangsa.
Antaranya legenda futsal Portugal, Ricardinho, pemain Sepanyol Carlos Ortiz serta bintang Thailand, Suphawut.Turut mengambil bahagian ialah Azrizam dari Kasuka FC dan Amirul Haziq dari Almerez FC, kedua-duanya dari Brunei.
Barisan pemain antarabangsa lain termasuk Scott Rogan dari Australia, Kenneth Kwang dan Zarin J dari Singapura serta Menchester Yeung dari Macau yang mewakili Sporting Macao Women.
Kehadiran pemain dari Portugal, Sepanyol, Thailand, Brunei, Australia, Singapura, Macau dan Malaysia menjadikan F.GAME 7 sebuah platform pertemuan pemain dari pelbagai negara.

Peraturan khas menjadikan F.GAME lebih menarik
Selain barisan pemain antarabangsa, F.GAME 7 turut memperkenalkan beberapa peraturan khas yang memberikan identiti tersendiri kepada acara ini.
Berbeza dengan format futsal konvensional, perlawanan dibahagikan kepada empat suku masa dengan setiap suku masa berlangsung selama 12 minit, menjadikan keseluruhan permainan berlangsung selama 48 minit.
Antara tarikan utama ialah penggunaan dua kad khas yang boleh mengubah momentum perlawanan.
1. Special Card: Player Removal
Kad pertama membolehkan pasukan mengarahkan seorang pemain lawan keluar daripada permainan selama dua minit penuh.Kad ini hanya boleh digunakan pada suku masa kedua atau ketiga, sekali gus memberikan peluang kepada pasukan untuk mencipta kelebihan taktikal ketika perlawanan berlangsung.
2. Special Card: Extra Penalty Kick
Kad kedua memberikan peluang untuk mendapatkan satu sepakan penalti tambahan.Namun, terdapat syarat istimewa apabila hanya pemain wanita dibenarkan mengambil sepakan penalti tersebut.
Peraturan ini memberikan satu elemen unik dalam format pertandingan F.GAME dengan penglibatan pemain wanita dalam situasi sepakan penalti khas.
3. Two Fouls Rule
Setiap suku masa mempunyai pengiraan kesalahan tersendiri.Selepas pasukan melakukan dua kesalahan, setiap kesalahan berikutnya akan menghadiahkan sepakan penalti dari titik kedua (second penalty spot) kepada pihak lawan.
Sistem ini menjadikan disiplin permainan dan pengurusan kesalahan sebagai elemen penting dalam strategi pasukan.
4. GOLD BALL: Setiap jaringan bernilai dua gol
Antara peraturan paling unik diperkenalkan ialah penggunaan bola emas atau GOLD BALL pada suku masa keempat.Dalam tempoh ini, setiap jaringan yang dihasilkan akan dikira sebagai dua gol.
Peraturan ini berpotensi mengubah kedudukan perlawanan dalam sekelip mata dan memastikan aksi pada suku masa terakhir terus menjadi tumpuan sehingga wisel penamat.
Gabungan peraturan khas ini memperlihatkan pendekatan F.GAME dalam menjadikan futsal lebih dinamik dengan elemen kejutan, strategi dan hiburan yang berbeza daripada format konvensional.

Tiket premium mencecah RM1,300
Satu lagi aspek yang menarik perhatian ialah pendekatan komersial penganjuran F.GAME.Harga tiket paling mahal dilaporkan mencecah 50,000 Yen Jepun, bersamaan kira-kira RM1,300.
Nilai tersebut memberikan gambaran tentang potensi futsal untuk dipasarkan bukan hanya sebagai sebuah pertandingan sukan, tetapi juga sebagai produk hiburan dan pengalaman premium kepada penonton.
Pendekatan yang menggabungkan populariti influencer, kehadiran pemain terkenal serta elemen hiburan memberikan perspektif berbeza tentang bagaimana acara futsal boleh dibangunkan sebagai sebuah produk komersial.
Korang yang terlepas nak menyaksikan full match disini
https://www.youtube.com/live/fj0cmHRcgok?si=ogmvmgQYlOW9Jupb
