Shah Alam City 2024 'regeneration'

Suntikan ‘Regeneration’ Buat Shah Alam City 2024

Bagi menampilkan impak yang lebih maksima dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim depan, pihak pengurusan Shah Alam City nampaknya sudah melakukan proses menjana atau ‘regeneration’ pasukan musim depan dengan wajah-wajah lebih segar.

Ini wajar dilakukan bagi relevansi pasukan di pentas futsal tanah air. Pemain baharu dengan pendekatan baharu perlu disuntik masuk.

Bukan sahaja meremajakan skuad sedia ada, mereka dilihat turut membawa masuk beberapa pemain berpengalaman serta pemain skuad kebangsaan. Ini terbukti apabila purata umur pemain dalam skuad Shah Alam City turun dari sekitar 28 tahun kepada 24 ke 25 tahun.

Lapan pemain daripada skuad 2023 dikekalkan pada musim ini antaranya Aizat Borhanuddin, Mulhim Muqri dan goleiro, Amir Hakim.

Rata-rata yang dikekalkan adalah yang berpengalaman, berusia dalam lingkungan 24 hingga 28 tahun. Mereka juga membawa masuk pemain berpengalaman dari Pulau Pinang dan Selangor MAC (kini Selangor). Malah, turut disenaraikan pemain daripada Liga Futsal IPT.

Antara yang sudah diumumkan secara rasmi adalah Razin Rahim dari Penang dan Zahir Zamri serta Asyraaf Azle dari Selangor.

Selain itu, kehadiran pemain skuad kebangsaan, Farhan Khairul Anuar, memberikan definisi terbaik untuk ‘regeneration’ yang akan dilalui.

Tambah menarik, terdapat dua pemain berusia bawah 19 tahun turut terpilih hasil daripada kejohanan yang dianjurkan mereka, Shah Alam City U-18 Invitation Cup 2023 yang berlangsung pada 25 November lalu. Ini adalah pelaburan terbaik untuk masa depan pasukan.

Suntikan pemain muda ini penting kerana mereka bercita-cita mengetengahkan bakat-bakat baharu untuk ‘pool’ skuad kebangsaan.

Dan antara pemain muda yang dikatakan wajar diberikan perhatian adalah Afif Fizhal dan Anas Aqasha yang disifatkan berbakat besar.

Bercakap kepada Arena Futsal, pengurus pasukan, Mohd Shazrizat Zulkipli berkata, “[Kami] tak risau [impak negatif ‘regeneration’]

Ini kerana, [kami] yakin dengan kombinasi pemain berpengalaman dicampur dengan pemain import berkualiti disamping kehadiran pemain-pemain muda yang bertenaga akan dapat membantu pasukan mencapai kejayaan yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini,” tegasnya.

Pemain import yang dikhabarkan akan diterbangkan ke sana adalah daripada Brazil dengan kedua-duanya berpengalaman beraksi di Liga Futsal Iran dan Rusia. Mungkin pemain yang dibawa masuk ini sebaik Well Pereira, pemain musim lalu yang memilih untuk berhijrah.

Skuad yang dikendalikan oleh bekas pemain skuad kebangsaan di tahun 2006 hingga 2013, Muizzudin Haris ini mensasarkan kedudukan ‘top 3’ MPFL. Adakah Muiz mampu memberikan sesuatu buat mereka selepas musim lalu hanya diakhiri di suku akhir MPFL dan MFC?

Start a Conversation