Farhan Shah Alam City dari Pahang Rangers

‘Alasan’ Farhan Khairul Anuar Pilih Shah Alam City

Barangkali ada yang tertanya-tanya mengapa bintang skuad kebangsaan, Farhan Khairul Anuar memutuskan untuk menyertai Shah Alam City yang jika dibandingkan dengan pasukan asalnya, Pahang Rangers – ia bagaikan langit dengan bumi atau bagai kaca dengan permata.

Manakan tidaknya, di aksi suku akhir Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023, Shah Alam City dibelasah 2-9 oleh Pahang Rangers yang seterusnya mara ke pentas final untuk menjulang kejuaraan sulung mereka. Apakah percaturan sebenar pemain yang berusia 26 tahun itu?

Pemain Pahang Rangers, Farhan Khairul Anuar atau lebih dikenali sebagai Apan itu sah disambar Shah Alam City untuk MPFL 2024.

Sebagai pemain negara, Farhan pastinya memiliki kualiti tersendiri, malah di Darul Makmur khususnya, beliau sudah didedahkan dengan permainan futsal moden oleh pengendali, Gerard Casas. Mungkin inilah sebab beliau selesa untuk bermain bersama skuad kebangsaan.

Di bawah kendalian pengendali baharu, Rakphol Sainetngam, sudah tentu skuad negara memerlukan pemain-pemain sepertinya.

Pemain yang sudah biasa dengan permainan futsal moden ini juga boleh dikatakan bijak menghidu peluang untuk meledak gol.

Jadi, mengapa Shah Alam City, ketika beliau adalah antara nadi skuad negara? Sesetengahnya pasti menganggap ini sebagai downgraded.

Penulis berpendapat yang perpindahan ini adalah disebabkan beliau mahu berada di kawasan Lembah Klang – memudahkan dirinya jika dipanggil untuk menyertai kem latihan skuad negara. Ini mungkin faktor sampingan yang membawanya ke Shah Alam musim depan.

Bercakap kepada Arena Futsal, Farhan menjelaskan, “Salah satu sebabnya adalah saya mahu membantu pasukan [Shah Alam City].

Lokasi Lembah Klang juga dekat keluarga saya dan suasana di sana selesa. Tambahan pula pasukan ini ada ramai kawan-kawan saya,” jelasnya sambil menafikan yang lokasinya kini akan memudahkannya jika mendapat panggilan skuad kebangsaan di masa akan datang.

Kita pun tak tahu akan dapat panggilan [skuad kebangsaan] lagi atau tidak lepas ini,” ungkapnya dalam nada berseloroh.

Ketika ditanya kemampuan pasukan untuk mengharungi musim yang lebih mencabar nanti, beliau berkata yang beliau percaya akan kemampuan mereka mencabar pasukan-pasukan kuat. “Saya yakin dengan idea dan kemampuan ‘coach’ saya,” tambah Farhan lagi.

Start a Conversation