Selangor MAC pra-musim 2024

Selangor MAC Buru Ganjaran Bernilai RM23,000 Di Ho Chi Minh

Selangor MAC dijangka melalui pra-musim di Vietnam dengan terbang ke Ho Chi Minh bagi memburu ganjaran bernilai lebih RM23,000.

Menurut satu laporan oleh sebuah portal di sana, TheThao, Selangor MAC merupakan salah satu kelab yang dijemput untuk menyertai satu kejohanan futsal yang melibatkan lapan buah pasukan antaranya juara Liga Futsal Vietnam yang baru sahaja dinobat, Thai Son Nam.

Turut terlibat empat lagi pasukan Vietnam, dua dari Thailand dan semifinalis Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023, Selangor MAC.

Mereka telah diundi ke dalam dua kumpulan dengan Selangor MAC diletak di Kumpulan B bersama Thai Son Nam, Savinest Khanh Hoa dan Blackpearl United (Thailand). Kumpulan A pula disertai Sahako FC, Thai Son Bac, Cao Bang dan Thammasat Stallion (Thailand).

Kejohanan yang diberi nama Ho Chi Minh City Futsal Open Tournament itu akan berlangsung bermula pada 23 hingga 29 Disember 2023.

Undian Kumpulan A dan B Ho Chi Minh City Futsal Open Tournament | Kredit Foto: TheThao

Portal tersebut menjangkakan yang aksi Kumpulan B bakal berlangsung hangat dan sengit dek kerana melibatkan tiga kelab besar dari Vietnam, Thailand dan Malaysia. Blackpearl United merupakan pasukan ketiga terbaik di Liga Futsal Thailand bagi musim 2022.

Sementara saingan Kumpulan A juga dijangka menarik untuk disaksikan dengan kehadiran jagoan futsal Thailand, Thammasat Stallion.

Malah, kejohanan ini dijangka mampu menarik lebih banyak penyokong untuk turun menyaksikannya dengan penyertaan pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara terutamanya dari Thailand yang tentunya sangat ampuh serta memiliki sistem permainan terbaik di rantau ini.

Mereka bakal merebut ganjaran wang tunai bernilai USD5,000 (RM23,367.50) sekiranya muncul juara kejohanan yang sudah memasuki edisi yang ke-15 tahun ini, selain USD3,000 (RM14,020.50) untuk naib johan dan USD1,000 (RM4673.50) untuk pemenang tempat ke-3.

Selain itu, penganjur turut akan memberikan anugerah buat pemain terbaik kejohanan, Goliero terbaik serta penjaring terbanyak.

Sementara itu, Selangor MAC ketika ini tampak sedang giat menjalani sesi latihan dan persediaan rapi selain turut telah mengumumkan lima muka baharu iaitu Imran Shamsudin, Helmi Imran, Firdaus Zulkefli, Farikh Khabibor Rahman dan Khaiyum Khaimi.

Start a Conversation