Futsal Pulau Pinang

Tiadakah Syarikat Tempatan Berminat Taja Futsal Pulau Pinang?

Tiadakah syarikat-syarikat tempatan yang berminat untuk menaja pasukan futsal Pulau Pinang sehingga mereka dikhabarkan bakal menarik diri daripada saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024? Apa yang sedang berlaku di kem mereka pada ketika ini?

Nampaknya, muncul antara pasukan terbaik bukan jaminan untuk mereka kekal bersaing pada musim depan. Musim lalu, mereka mara ke suku akhir MPFL dan Piala Malaysia Futsal (MFC) apabila menduduki tangga kedua Kumpulan A, enam mata di belakang Pahang Rangers.

Takdir dan masa depan mereka bagaikan telur di hujung tanduk. Jika tiada tajaan yang diterima, mereka mungkin terpaksa menarik diri.

Ironinya, skuad sepak takraw Pulau Pinang, Penang Black Panthers ditaja oleh sebuah syarikat emas yang mula bertapak di Pulau Pinang, Emas Anuar. Malah, Emas Anuar juga merupakan penaja utama kejohanan sepak takraw dalam negara, Sepak Takraw League (STL).

Di mana lagi syarikat-syarikat tempatan di Pulau Pinang? Tiadakah yang berminat untuk memberi tajaan buat skuad futsal mereka?

Sebagai contoh Pak Mat Western yang semakin meniti di bibir peminat-peminat makanan, mengapa mereka tidak berminat menaja?

Menurut maklumat yang diperolehi daripada laman Facebook, Penang Brotherhood, untuk saingan musim lalu, skuad futsal mereka hanya menerima sepuluh peratus dana daripada kerajaan negeri manakala yang selebihnya merupakan hasil daripada tajaan yang mereka cari.

Difahamkan mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000 sebagai permulaan bagi melancarkan persediaan awal musim depan.

Untuk tahun depan pengstrukturan liga yang panjang menyukarkan pergerakkan pasukan Futsal Pulau Pinang. Sudah tentu kekuatan kewangan diperlukan untuk pasukan futsal kita bertahan,” titip laman Facebook penyokong Pulau Pinang itu kira-kira dua hari yang lalu.

Di khabarkan kini pasukan Futsal Pulau Pinang berkemungkinan ‘tutup kedai’ setelah kesukaran mendapatkan ‘sponsor’,” titip mereka lanjut.

Mereka amat mengharapkan agar kerajaan negeri dapat membantu mereka terutama sekali Exco Sukan yang baharu, Yang Berhormat Daniel Gooi, waima masih belum ada khabar berita rasmi daripada pejabat kerajaan negeri yang turut dilihat ‘membantu’ Penang FC.

Beberapa pasukan elit dilihat sudah memulakan pra-musim, seolah-olahnya harapan mereka kini semakin menipis dan bakal berkubur.

Amatlah rugi buat pencinta sukan futsal di Pulau Pinang sekiranya skuad futsal mereka berkubur. Pencapaian baik selama dua musim tidak mencerminkan yang mereka mudah untuk mendapatkan sebarang tajaan. Sudahlah gelanggang futsal tertua di Pulau Pinang – Safira, sudah rebah menyembah bumi, takkan pula kini giliran skuad futsal mereka – antara yang terbaik di Malaysia, akan menerima nasib sama?

Start a Conversation