Felipe Leite Sabah Futsal 2024

‘Gegaran’ Dari Borneo Yang Sedang Merentas Laut China Selatan

‘Gegaran’ dari Borneo tampak sedang cuba meraih perhatian pengikut futsal tempatan selepas beberapa pengumuman besar dibuat.

Futsal Sabah nampaknya sedang melalui perubahan drastik menuju ke Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024. Beberapa pengumuman antaranya ketua jurulatih dan beberapa pemain dilihat mencuri tumpuan dan mungkin mampu melonjak pasukan ke tahap lebih baik.

Ini merupakan tahun kedua mereka melibatkan diri dalam saingan MPFL sejak ia mula dilangsungkan bermula pada tahun 2019.

Tahun lalu, mungkin sesuatu yang mahu dilupakan mereka adalah kekalahan besar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT). Mereka tewas 0-21 di suku akhir kepada JDT. Di peringkat kumpulan, mereka berada di kedudukan ke-4, mengumpul 12 mata, hasil daripada empat kemenangan.

Untuk kejohanan Piala Malaysia Futsal (MFC), Sabah kecundang di pusingan kelayakan kepada KL City dengan keputusan 1-4.

Oleh itu, musim depan menyaksikan mereka memulakan langkah awal dengan pengumuman ketua jurulatih yang berpengalaman, Patt Sriwijit yang juga pernah memimpin Selangor TOT (kini Gombak TOT) pada musim lalu. Reputasinya di Thailand juga bukanlah kecil anak.

Beliau pernah menjulang kejuaraan Liga Futsal Thailand sebanyak dua kali pada 2020 dan 2021 bersama PTT Bluewave Chonburi dan ketika membimbing skuad kebangsaan Thailand, beliau menghadiahkan mereka pingat emas Sukan SEA 2022 dan Kejohanan AFF 2022.

Tidak terhenti di situ, mereka telah mengumumkan penyertaan pemain import yang memiliki sentuhan pemusnah di depan gawang, Felipe Leite. Untuk rekod, beliau memiliki kadar jaringan gol yang tinggi dan pernah beraksi di Jepun selama dua musim bersama Vassagey Oita.

Di sana beliau melakar 36 gol dalam 71 penampilan sebelum terbang ke Thailand menyertai Bluewave Chonburi dan membantu mereka meraih kedudukan ketiga liga, meledak 16 gol keseluruhan. Berusia 29 tahun, beliau juga pernah beraksi di liga utama Portugal sebelum itu.

Mereka turut mengumumkan Khairul Sukri dari Gombak TOT, selain memperkenalkan Azhar Agus dan bintang muda, Taufiq Ahmad.

Apa lagi sensasi yang bakal diluncurkan Sabah menjelang saingan MPFL 2024 nanti? Sama-sama kita nantikan dalam masa terdekat.

Start a Conversation