Kuala Lumpur 2 – Sasar Persembahan Lebih Matang dalam MPFL Divisyen 2 2025

Selepas mengharungi musim 2024 di kedudukan bawahan liga, pasukan Kuala Lumpur kini dikenali sebagai Kuala Lumpur 2 hadir dengan pendekatan yang lebih matang dan perancangan yang lebih rapi untuk menghadapi saingan MPFL Divisyen 2 musim 2025.

Sebagai sebuah pasukan pembangunan di bawah inisiatif pembangunan futsal Kuala Lumpur, Kuala Lumpur 2 terus mengekalkan identiti mereka sebagai pencorak bakat muda, dengan misi utama memberi pendedahan berperingkat kepada pemain remaja dalam suasana liga kompetitif.

Menurut wakil pasukan, Kevin Yee, kekurangan masa latihan serta usia pemain yang masih muda menjadi faktor prestasi pasukan pada musim lalu. Namun, beliau optimis pasukan kini berada dalam keadaan yang lebih bersedia.

Pasukan kami masih muda musim lepas dan tidak cukup masa latihan. Tapi sekarang pasukan lebih matang, dan kami harap dapat beri tentangan yang lebih baik,” jelasnya.

Bermain Berdasarkan Kekuatan

Dari segi taktikal, Kuala Lumpur 2 mengutamakan pendekatan fleksibel dan membina strategi berdasarkan kekuatan sedia ada iaitu usia muda dan kepantasan.

Kami bermain berdasarkan kekuatan kami — youth dan speed. Itu sahaja yang saya boleh kongsikan buat masa ini,” kata Kevin sambil berseloroh.

Cabaran Masa & Kewangan Tidak Melemahkan Semangat

Kuala Lumpur 2 turut berdepan cabaran besar dari segi kekangan masa dan sumber kewangan. Namun, menurut Kevin, cabaran itu hanya menguatkan lagi semangat dan mentaliti pasukan.

“Kami hadapi dua cabaran besar — masa dan kewangan. Tapi semua ni kami lalui dengan senyuman. Lagi besar cabaran, lagi kuat mentaliti pemain kami nanti.”

Beberapa Pemain Dijangka Menyerlah

Tanpa memberi tekanan kepada mana-mana pemain secara langsung, Kevin menjangkakan beberapa pemain berpotensi akan mencuri tumpuan sepanjang musim ini.

Saya tak suka letak tekanan, tapi saya jangka tiga hingga empat pemain akan menonjolkan diri. Kita sama-sama saksikan nanti.”

Liga RKS Sebagai Pelan Persediaan

Menjelang musim baru, Kuala Lumpur 2 telah menjalani sesi latihan yang lebih konsisten dan menyertai beberapa perlawanan persahabatan. Penyertaan mereka dalam Liga RKS juga merupakan sebahagian daripada pelan persiapan pasukan.

Liga RKS sebenarnya sebahagian daripada pelan kami untuk bersedia ke MPFL Divisyen 2.”

Sasaran Realistik, Fokus Kepada Proses

Dengan hanya seorang pemain melebihi usia 21 tahun, Kuala Lumpur 2 meletakkan sasaran yang bersifat realistik untuk musim ini — menamatkan liga dalam kelompok atas.

Kami sasarkan untuk berada di kelompok atas liga. Semua pemain bawah 21, kecuali seorang yang berusia 24 tahun.”

Komitmen Tanpa Goyah

Mengakhiri sesi temubual, Kevin Yee memberi jaminan bahawa pasukan akan terus berjuang dengan penuh semangat dalam setiap perlawanan dan menjadikan musim ini sebagai medan pembuktian bagi para pemain muda mereka.

Kami akan hadapi setiap perlawanan dengan semangat yang kuat dan berikan yang terbaik yang kami mampu.”