Isaias Figueiredo cemerlang meledak tiga gol membantu Shah Alam City membenam cabaran Sabah dalam aksi ke-7, Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024. Mereka meraih tiga mata penuh dengan kemenangan besar 6-2 ke atas Sabah di Shah Alam.
Mungkin pada awal musim ada yang merasakan pasukan ini bakal tergugat dek kehilangan Well Pereira yang memilih haluan baharu.
Penjaring utama Shah Alam City itu berhasil mencetak 15 gol di pentas MPFL musim lalu dan akhirnya dipikat musuh setempat mereka.
Berhijrah ke Selangor, selepas tujuh perlawanan, beliau telah mencipta tujuh gol selepas dilihat sedikit lambat memanaskan enjin ledakan.
Sementara di Shah Alam City, mereka seolah-olah sudah melupakannya apabila Isaias hadir dengan impak tersendiri. Isaias muncul sebagai pendahulu carta penjaring terbanyak dengan 12 gol, hanya dipisahkan satu gol oleh pivot Pahang Rangers, Felipe De Almeida Souza.
Dalam aksi menentang Sabah pada Sabtu, pasukan dari Borneo itu gagal memanfaatkan peluang untuk mendekatkan jurang gol apabila Shah Alam City kehilangan seorang pemain, Kelwin Clayton yang dilayangkan kad merah selepas insiden panas antara kedua-dua pasukan.
Ketika itu, Shah Alam City mendahului aksi 4-2 dan kehilangan seorang pemain buat seketika itu gagal dimanfaatkan oleh kem Sabah.
Sebaik sahaja mereka kembali dengan kekuatan penuh dan Sabah pula dalam ‘mode’ ‘power play’, lawan sekali lagi terkena dengan jaringan jarak jauh oleh Isaias di minit ke-38, meranapkan terus pemburuan gol mereka sebelum beliau sekali lagi mencetak nama di hujung aksi.
Sebelum insiden yang membawa kepada kad merah Kelwin, pelawat sedang mendahului aksi hasil dua gol oleh Zainal Abidin Hamzah, selain satu gol oleh Isaias dan Kelwin. Gol Sabah pula dihasilkan oleh Wan Abdul Raziq dan Dzul Idzuaniezam di babak pertama.