Menerusi satu surat edaran yang telah dibuat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), perkara yang dinanti-nanti, jendela perpindahan atau pendaftaran pemain untuk saingan Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 bakal dibuka tidak lama lagi.
Sesetengah pasukan mungkin telah mengenalpasti titik lemah mereka selepas melalui separuh perjalanan liga. Dan dengan pembukaan semula jendela pendaftaran pemain ini, mereka berpeluang merombak atau sekurang-kurangnya menambah baik kekurangan pasukan.
Menurut surat edaran tersebut, jendela pendaftaran kedua pemain akan bermula pada 8 Jun 2024 (Sabtu) sehingga 7 Julai 2024 (Ahad).
Namun, dengan syarat yang diletakkan FAM, kemungkinan untuk kita melihat rombakan besar tidak akan berlaku kerana setiap pasukan hanya dibenarkan membuat maksimum pertukaran tiga pemain sahaja. Pasukan mana yang akan membuka langkah pertama?
Melihatkan prestasi terkini, pasukan seperti Terengganu dan KL City mungkin bakal menggunakan sebaiknya tempoh sebulan tersebut dek kerana terperosok di dasar liga. Namun, sejauh mana ia akan berlaku, bergantung kepada berapa besar ‘poket’ masing-masing.
Disamping itu, tidak mustahil juga pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang Rangers bakal menambah baik pasukan mereka.
Ini kerana, ketika pendaftaran pertama liga tempohari, masih ada liga seperti di Eropah yang sedang berlangsung dan tidak melepaskan pemain mereka untuk berhijrah keluar. Mungkinkah kita akan melihat perubahan pemain dilakukan pasukan-pasukan gergasi juga?
Menurut FAM lagi, bagi pasukan yang masih belum melengkapkan kouta 25 pemain, mereka masih boleh memenuhi kouta tersebut.
Kita bakal melihat pasukan bersaing melakukan perubahan pemain tidak lama lagi dan pasukan mana yang berada di fikiran anda sekarang?