Tag: Divisyen 1

Pahang Rangers Selangor MPFL 2024

Kemenangan Sulung Bantu SAC, Pahang Rangers Terus Ekori JDT

JDT berada di puncak dengan enam mata maksimum selepas mengharungi dua aksi Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024, namun sedang diekori rapat oleh dua pasukan, Shah Alam City dan Pahang Rangers yang turut melakar kemenangan, malam tadi.

Shah Alam City cemerlang mengatasi KL City 8-3, sementara Pahang Rangers pula mengecewakan Selangor dengan kemenangan 8-4.

Kemenangan kedua-dua pasukan yang saling terikat pada minggu pertama tempohari – terikat seri 6-6, telah membantu mereka berada di tangga ke-2 dan ke-3 liga dengan mengumpul empat mata, hanya dipisahkan dua mata di belakang JDT, yang unggul di takhta liga.

Beraksi di Stadium Tertutup SUKPA, Pahang Rangers berjaya membuka jaringan seawal minit pertama menerusi Murilo Saad sebelum Felipe de Souza dan Amirul Khairuddin meletak tuan rumah mendahului perlawanan tiga gol tanpa balas pada minit ke-3 dan ke-4.

Hamdin Zarif menambang jurang gol pada minit ke-12 untuk babak pertama berakhir dengan kedudukan 4-0, memihak Pahang Rangers.

Itu adalah permulaan kepada kisah hatrik ciptaan Hamdin yang kemudian melakar dua lagi jaringan peribadi di minit ke-30 dan ke-38.

Bukan hanya Hamdin, Filipe de Souza turut mencipta nama selaku penjaring hatrik menerusi tambahan gol pada minit ke-28 dan ke-32.

Selangor cuba bangkit, namun setiap kali gol dihasilkan, tuan rumah akan menambah jurang gol semula. Gol-gol pelawat dihasilkan oleh Syahir Iqbal Khan pada minit ke-23, Khairul Effendy (26′), Matheus Vasconcelos Silva (35′) dan gol sendiri Nazreen Saudi di minit ke-39.

Shah Alam City pula menepati sasaran untuk mengatasi KL City apabila melakar kemenangan 8-3 di Kompleks Sukan ISN, Raja Muda.

Walaupun membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 menerusi jaringan sendiri pemain pelawat, Razin Rahim, KL City gagal memanfaatkannya untuk menguasai perlawanan seterusnya meraih tiga mata pertama di saingan Divisyen 1 kali ini.

Shah Alam City mempamerkan watak garang dengan mengegar gawang lawan tiga kali berturut-turut dalam tempoh hanya tiga minit menerusi ledakan Aliff Roslan pada minit ke-13, diikuti oleh jaringan Kelwin Soares (14′) dan Isayas Figueiredo (15′).

Empat minit berselang, Dinesh Kumar seperti memberi semula harapan buat KL City apabila mencipta gol kedua, namun Farhan Khairul Anuar berhasil menambah jaringan buat Shah Alam City pada minit ke-20. Isayas menambah lagi gol pada minit ke-23 untuk pelawat mendahului aksi dengan kedudukan 5-2, sebelum ledakan Zainal Abidin, tiga minit kemudian, meletak pelawat lebih selesa.

Kisshaen Ananthan memberikan KL City gol terakhir mereka pada malam tadi menerusi jaringan di minit ke-35, sebelum Shah Alam menutup malam indah mereka dengan gol oleh Nurasyraaf Azle (35′) diikuti Isayas yang melengkapkan hatrik peribadinya.

Guntur Sulistyo Gombak TOT MPFL 2024

5 Gol Guntur Sulistyo Pastikan Sabah Terduduk

Dua perlawanan Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 berlangsung semalam dan JDT berhasil membenam Terengganu dengan keputusan 8-1 di Pasir Gudang, sementara Gombak TOT pula telah menewaskan Sabah dengan keputusan 7-5, di Shah Alam.

Walaupun keputusan besar yang dicipta JDT mungkin mencuri tumpuan, namun, sensasi ciptaan pemain Gombak TOT lebih berimpak.

Sabah mungkin berhasil menundukkan Selangor minggu lalu, namun berdepan cabaran satu lagi pasukan dari Selangor, Gombak TOT, menghadirkan suasana berbeza tatkala pemain import dari Indonesia, Guntur Sulistyo mencipta sensasi dengan mencetak lima gol.

Guntur tidak menunggu terlalu lama apabila melengkapkan terlebih dahulu hatriknya untuk pelawat mendahului perlawanan 4-1 waima Sabah terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Kairul Sukri sebelum ia disamakan oleh Habibi Sultan.

Gol-gol Guntur dilakar pada minit ke-18, ke-19 dan ke-21 untuk menceriakan kem Gombak TOT yang dibelasah JDT pada minggu lalu.

Ia sekaligus memberi suntikan motivasi di kem mereka selepas moral mereka diranap JDT dengan kekalahan besar, 1-6 di halaman sendiri.

Felipe Leite kembali merapatkan jurang buat Sabah di minit ke-25, namun Guntur memastikan ia hanya sementara, empat minit berselang.

Pengendali Sabah, Patt Sriwijit tampak menggunakan taktikal ‘Powerplay’ bagi memburu gol tatkala ketinggalan 5-2 dan ia berhasil apabila Ahmad Azim Mohammad menjaringkan gol pada minit ke-33 dan ke-36 serta jaringan Hikmal Firdaus Darul Ridzuan pada minit ke-35.

Namun dek kerana terlalu bergantung dengan taktikal tersebut, Sabah membuat dua kesilapan yang menghadiahkan dua gol kepada Gombak TOT menerusi Ridhwan Zainal dan Guntur, yang melengkapkan lima golnya dalam penampilan keduanya di MPFL sulungnya.

JDT menjadi pasukan pertama meraih tiga mata dalam dua perlawanan selepas cemerlang membenam Terengganu 8-1 di halaman sendiri.

Sebelum perlawanan, mungkin ramai mahu melihat tentangan yang akan cuba dihidangkan pelawat yang hadir ke Pasir Gudang selepas meraih kemenangan besar, 6-1 ke atas KL City. Namun, sebaliknya berlaku apabila JDT mendahului babak pertama dengan kedudukan 5-0.

Ia umpama perlawanan yang mudah buat pencabar kejuaraan musim ini apabila Terengganu membariskan pemain-pemain tempatan.

Gol-gol tuan rumah dicipta oleh Azri Rahman pada minit pertama dan ke-21, Ridzwan Bakri (12′), Abu Haniffa Hasan (15′), Saad Sani (16′, 27′), Danial Dain (17′) dan Fakhrul Islam Anizam (22′). Gol saguhati pasukan lawan pula dilakar oleh Akram Mukhriz di minit ke-35.

Malam ini berlangsung dua lagi aksi melibatkan pertembungan antara Pahang Rangers dan Selangor serta KL City bertemu Shah Alam City.

Sabah Selangor MPFL 2024

Ini Jangkaan Pergerakan Kedudukan Divisyen 1 Di Minggu Ke-2

Berakhirnya aksi minggu pertama, Johor Darul Ta’zim (JDT) unggul di takhta carta Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024.

Membelasah Gombak TOT 6-1 dalam aksi pembukaan liga adalah sesuatu yang diluar jangkaan seterusnya melonjak mereka ke puncak, merekodkan perbezaan gol yang besar, serta berkongsi kedudukan bersama pasukan dibarisi 100 peratus pemain tempatan, Terengganu.

Merekodkan jumlah jaringan dan bolos yang sama seperti JDT, Terengganu tampil membelasan KL City di halaman sendiri. Sabah pula menempatkan diri di tangga ke-3 apabila meraih kemenangan mengejut, 3-2 ke atas Selangor dalam aksi pertama di KSN Panasonic.

Kedudukan ini dijangka bakal sedikit berubah dengan JDT akan bertemu Terengganu untuk aksi minggu ke-2 pada 24 Februari ini. Adakah kedua-dua pasukan akan terikat dengan keputusan seri, berdasarkan keampuhan yang telah ditampilkan kedua-dua pasukan?

Sabah berpeluang memintas kedudukan kedua-dua pasukan, jika mereka memanfaatkan situasi kurang baik di kem Gombak TOT kini. Dibelasah tanpa ehsan oleh JDT pasti sedikit sebanyak memberi kesan terhadap momentum dan moral pasukan untuk aksi kedua nanti.

Bagaimana peluang pasukan yang berada di kedudukan ke-4, Pahang Rangers? Juara berganda musim lalu itu baru melalui situasi getir, dibolosi enam gol tatkala terikat 6-6 berdepan Shah Alam City. Berdepan Selangor yang dikecewakan Sabah, ia tidaklah membantu.

Namun, mungkin satu pertempuran sengit bakal dihadapi mereka sekali lagi, dengan Selangor juga tidak mahu lagi keciciran mata.

Shah Alam City barangkali paling beruntung dengan tiada tekanan waima hanya meraih satu mata minggu lalu. Mengikat juara berganda, Pahang Rangers bakal melonjak moral pasukan seterusnya memudahkan urusan mereka untuk berdepan KL City pada 25 Februari.

Sabah dan Shah Alam City mungkin mampu mengubah kedudukan yang lebih baik untuk minggu kedua, jika mereka memanfaatkan situasi lawan mereka. Untuk pertemuan antara JDT dan Terengganu, ia akan jadi lebih menarik, jika salah satu pasukan berhasil meraih tiga mata.

Bagaimana jangkaan anda? Adakah kedudukan minggu pertama cerminan kemampuan sebenar setiap pasukan di Divisyen 1, musim ini?

Sabah MPFL 2024 kejutkan Selangor

2 Ledakan Felipe Bantu Sabah Kejutkan Semifinalis Musim Lalu

Perlawanan terakhir di minggu pertama Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 menyajikan kejutan tatkala pasukan yang boleh dianggap ‘darkhorse’ musim ini, Sabah berhasil mengatasi Selangor dengan keputusan 3-2 di KSN Panasonic, Shah Alam.

Babak kedua lebih memberikan kepuasan atas faktor gol yang lebih banyak dihasilkan apabila babak pertama menyaksikan hanya satu gol terhasil. Sabah terlebih dahulu berjaya mendahului perlawanan menerusi sentuhan mudah Felipe Leita di minit yang ke-4 perlawanan.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan mengancaman pintu gol lawan, namun kedua-dua Goleiro tampil tangkas menafikannya.

Minit ke-4, gerakan antara dua pemain, Wan Abdul Raziq dan Felipe akhirnya berjaya disudahkan dengan satu sentuhan mudah di depan gawang. Syawal Sabaruddin yang tampak cemerlang sebelum itu akhirnya tertewas dek kerana kelonggaran di bahagian benteng.

Dua minit berselang, Khairul Effendy gagal memanfaatkan peluang terbaik buat tuan rumah untuk menyamakan kedudukan. Disiplin yang baik ketika bertahan juga membantu pelawat untuk menambah tekanan sedia ada buat semifinalis MPFL musim lalu itu, di babak pertama.

Malah, beberapa kali Goleiro Sabah, Faezwan Ashwandie mempamerkan ketangkasannya dalam menafikan rembatan-rembatas deras.

Babak kedua bermula dengan jaringan penyamaan Selangor yang dicipta Syed Aizad Daniel dengan satu rembatan leret deras pada minit ke-21. Selepas jaringan itu, percubaan Syahir Iqbal Khan pula hadir menggegar palang gawang pelawat menerusi rembatan derasnya.

Bunga-bunga kebangkitan mula dipamerkan tuan rumah, namun ia tidak bertahan lama apabila Felipe sekali lagi merosakkan suasana.

Hantaran Joao Gabriel berjaya disudahkannya dengan rembatan deras menewaskan Goleiro Selangor membolehkan Sabah di depan.

Faezwan memberi segalanya untuk pertembungan ini dan meneruskan prestasi baiknya di babak kedua membuat Selangor kian buntu.

Minit ke-34, Faris Johan tampil menerusi gol menarik menewaskan Goleiro Sabah itu dengan rembatan deras dari sudut kanan gawang.

Tak lama selepas itu, Ahmad Azim muncul wira Sabah yang bermula daripada sepakan penjuru di sebelah kiri gawang yang dikawal Syawal.

Kemenangan dan tiga mata yang diraih Sabah membantu mereka untuk berada di tangga ke-3 Divisyen 1 dalam minggu pertama, di belakang JDT dan Terengganu dengan hanya dibezakan oleh perbezaan jaringan besar dimiliki oleh kedua-dua pasukan tersebut.

SAC Pahang Rangers MPFL 2024

Kejutan Jelmaan Shah Alam City Hampir Buat Pahang Rangers Gigit Jari

Tiga aksi berlangsung pada hari pertama Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 dan Shah Alam City pasti menjadi sebutan.

Telah berlangsung aksi antara Shah Alam City menentang Pahang Rangers, Gombak TOT bertemu JDT dan Terengganu melayan KL City.

Aksi minggu pertama menyaksikan tirai disingkap oleh pertembungan menarik antara Shah Alam City dan juara bertahan, Pahang Rangers. Tak siapa menduga, juara berganda musim lalu itu terpaksa bekerja keras untuk bangkit dan akhirnya membawa pulang satu mata.

Nampaknya apa yang dirancang oleh Shah Alam City untuk musim ini memberikan sinar positif tatkala berjaya membuatkan Pahang Rangers bergelut. Mereka perlu duduk dan melihat semula bagaimana pasukan yang mereka ‘buli’ musim lalu, hampir memberi kejutan.

Semua ternanti-nantikan impak dua pemain import baharu kedua-dua pasukan, namun pemain tempatan tampaknya mencuri tumpuan.

Harith Na’im berjaya menjelmakan hatrik malah menjadi punca kebangkitan buat Pahang Rangers bangkit untuk mengikat tuan rumah. Perlawanan berakhir dengan keputusan 6-6 dalam aksi yang berlangsung di KSN Panasonic, Shah Alam, pada perlawanan sebelah petang.

Pelawat dilihat kerap ketinggalan waima mendahului aksi dengan dua gol apabila membuka gol seawal minit ke-3 menerusi Felipe de Souza dan Amirul Khairuddin (4′). Shah Alam City bangkit dengan empat gol menerusi Zainal Abidin (2 gol), Razin Rahim dan Isayas Figueredo.

Pahang Rangers kembali ke dalam perlawanan dengan dua gol menerusi ledakan Harith sebelum Farhan Khairul Anuar meledak dua gol, memberi kelebihan semula buat tuan rumah. Murilo Saad dan Harith mencipta jaringan di penghujung aksi untuk mengikat lawan.

Untuk perlawanan kedua, JDT mempamerkan watak juara dengan membenam cabaran Gombak TOT dengan keputusan besar, 6-1.

Pemain tempatan sekali lagi mencipta fenomena tersendiri di KSN Panasonic waima kedua-dua pasukan menampilkan pemain import, selain dua layangan kad merah kepada pemain Gombak TOT iaitu Faisal Saharudin dan goleiro, Syafiq Hamzah di penghujung perlawanan.

Tumpuan tentunya kepada pencipta hatrik buat pelawat, Saad Sani serta gol debut bersama JDT, Ridzwan Bakri yang dicipta di hujung aksi. Tiga gol tercipta empat minit menuju ke wisel penamat dengan Saad, Ridzwan dan Azri Rahman berhasil menambah perbezaan jaringan.

Di Kuala Terengganu, sekali lagi angka enam menjadi saksi aksi hari pertama Divisyen 1 apabila Terengganu menang 6-1 ke atas KL City.

Turun dengan 100 peratus pemain tempatan bukanlah alasan untuk tuan rumah tunduk kepada KL City, malah mereka lebih dominan dengan kemenangan selesa. Lima pemain mencipta nama selaku penjaring untuk mereka meraih tiga mata berharga di halaman sendiri.

Penjaring gol buat Terengganu adalah Hafizi Ismail (2 gol), Syed Shahrul Niezam, Zuhairi Mohamad Alif Izzat Rosdi dan Akram Mukhriz.

Angka enam menjadi tumpuan dalam ketiga-tiga perlawanan dan prestasi yang dipamerkan Shah Alam City yang paling berimpak tinggi.

Esok akan berlangsung satu lagi aksi yang tidak kurang menariknya apabila Selangor akan melayan kunjungan Sabah di KSN Panasonic.

Isayas Zaza Shah Alam City Murilo Saad Pahang Rangers

Murilo vs Isayas, Siapa Lebih Tajam Dalam Aksi Sulung?

Murilo Saad dan Isayas Figueredo, kedua-duanya bakal turun buat kali pertama di pentas Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), petang ini.

Pahang Rangers akan berkunjung ke KSN Panasonic, Shah Alam, menentang Shah Alam City dalam aksi sulung Divisyen 1, MPFL 2024.

Murilo diterbangkan Pahang Rangers dari kelab elit Amerika Selatan, Carlos Barbosa sebagai pengganti kepada Sergio Jamur dengan reputasi yang sangat baik. Malah, beliau baru sahaja dinobat sebagai pemain terbaik di pentas final Liga Gaucha de Futsal 2023.

Sebagai pemain yang pernah mewakili negaranya, Murilo sesuai digambarkan sebagai pencetak gol sejati dan memiliki skil berkelas dunia.

Untuk rekod, bersama Brazil, beliau pernah menjulang trofi Copa America Futsal 2011 apabila berjaya menewaskan Argentina 5-1 di final.

Selain itu, beliau juga pernah beraksi bersama beberapa kelab ternama di Amerika Selatan iaitu Corinthians, Atlantico dan Joinville.

Bersama dua kelab gergasi Amerika Selatan, Corinthians dan Carlos Barbosa, beliau telah mencetak 47 jaringan dalam 137 penampilan.

Tambah menarik, beliau hadir ke Kuantan selepas membayar pampasan menamatkan kontrak lebih awal bersama Carlos Barbosa tempohari. Ada sesuatu mahu dicapainya bersama Pahang Rangers tatkala sanggup membayar pampasan kontrak dua tahunnya.

Isayas pula merupakan pemain import Shah Alam City yang hadir bagi menampilkan kemampuannya di MPFL pada musim baharu ini.

Shah Alam City baru sahaja kehilangan pencetak gol sejati mereka kepada Selangor, Well Pereira yang musim lalu meledak 15 gol di saingan liga dan empat gol di Piala Futsal Malaysia (MFC) 2023. Ini menyebabkan kudratnya ‘dipinang’ skuad elit seperti Selangor.

Namun, disebalik meratapi kehilangan tersebut, mereka mampu merekrut Isayas yang merupakan peledak sejati di Liga Parana di Brazil. Musim lalu, bersama skuad futsal Operario Laranjeiras, beliau berhasil melakar 17 jaringan, membuktikan sentuhan pemusnahnya.

Selain itu, beliau juga pernah berkelana ke Tubarao Futsal di Liga LNF dan pernah bermain di Russia bermain untuk MFC Rostov.

Shah Alam City dan Pahang Rangers akan bertemu dalam aksi yang berlangsung jam 5.00 petang ini. Siapa lebih tajam, Murilo atau Isayas?

Guntur Sulistyo Gombak TOT MPFL 2024 Divisyen 1

Sentuhan Guntur Sulistyo Mampu ‘Sakiti’ JDT?

Gombak TOT secara rasmi mengumumkan barisan pemain yang 70 peratusnya muka baharu untuk pentas Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 termasuklah memperkenalkan dua import baharu untuk musim ini iaitu Luan Feitosa dan Guntur Sulistyo.

Guntur bukanlah nama asing buat Gombak TOT apabila menyarung jersi mereka selama sebulan di Piala Futsal Malaysia (MFC) 2023.

Menariknya, waima hanya untuk dua perlawanan – tersingkir di suku akhir kepada Pahang Rangers, beliau berhasil melakar tiga jaringan.

Kini, di pentas MPFL, kemampuannya bakal teruji, malah aksi pertama pasukan tersebut adalah berdepan finalis MPFL dan MFL 2023, JDT.

Bakal menyarung jersi bernombor 16, kemampuan pemain yang membarisi skuad kebangsaan Indonesia ini tidaklah perlu diperkenalkan lagi. Beraksi di posisi Ala dan mampu menggunakan kedua-dua belah kakinya, beliau merupakan aset yang amat bernilai buat pasukan.

Malah kepantasan dan kelincahannya bakal menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan, selain beliau cepat menyesuaikan dirinya. Terbukti pada musim lalu, waima hanya dapat diturunkan dalam dua perlawanan, Gombak TOT mampu meraih manfaat darinya.

Antara kejuaraan yang pernah dirangkulnya bersama pasukan terdahulu – Black Steel di Indonesia, adalah Kejohanan Futsal Kelab AFF 2023, malah beliau merupakan pemain futsal Indonesia yang meraih pingat perak di Sukan SEA 2022 yang dilangsungkan di Vietnam.

Pertembungan antara Gombak TOT dan JDT juga menarik kerana bekas kapten mereka, Yazid Kamaruzuan kini beraksi bersama lawan.

Anda akan dapat saksikan pertembungan antara kedua-dua pasukan ini pada jam 8.30 malam ini di KSN Panasonic, Shah Alam.

Pahang Rangers Sabah jersi MPFL 2024 Divisyen 1

2 Pasukan Sarung Jersi Jenama Tempatan, Bagaimana Yang Lain?

Hujung minggu ini, tirai Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 bakal disingkap dan tentunya ia amat dinanti-nanti semua.

Semua pasukan sepatutnya sudah bersedia menjelang sepak mula pada 17 Februari dengan barisan pemain dan jersi yang bakal disarung.

Menarik untuk dilihat jenama jersi yang bakal disarung setiap pasukan yang bersaing di Divisyen 1 musim ini. Ada jenama tempatan tak?

Juara berganda musim lalu, Pahang Rangers tampak kekal dengan pilihan jenama Jepun iaitu Desporte selepas kali pertama menggunakan jenama tersebut pada musim lalu. Mungkin kualiti yang ditawarkan menyebabkan kerjasama tersebut terus terjalin pada musim ini.

Setakat ini, jersi ‘away’ telah diperkenalkan kepada umum apabila mereka bakal beraksi di tempat lawan dahulu, menentang Shah Alam City di Stadium Tertutup Panasonic, sebelum menanti kunjungan Selangor pada 25 Februari di laman sendiri, Stadium Tertutup SUKPA.

Mungkinkah jersi ‘home’ mereka akan diperkenalkan sebelum aksi menentang Selangor?

Untuk lawan mereka, Shah Alam City, jenama dari Indonesia menjadi pilihan iaitu Ortus 8 yang turut menaja sebuah lagi pasukan, KL City.

Menarik mengenai jenama ini, mereka baru sahaja melantik pemain tengah skuad kebangsaan, Sergio Aguero sebagai duta rasmi mereka.

Pasukan yang secara tiba-tiba menjadi tumpuan pada musim ini, Sabah memilih menggunakan jenama dari Thailand, Bangkrirk Design. Barangkali pengaruh yang dibawa oleh pengendali baharu mereka, Patt Sriwijit, jenama tersebut telah terpikat menjalin kerjasama.

Dua pasukan, JDT dan Selangor bakal menyarung jenama jersi yang sama dengan pasukan bola sepak mereka, menjadikan JDT mendapat tajaan daripada Nike, sementara Selangor kekal setia bersama Joma. Untuk JDT, reka bentuk adalah sama, tetapi tidak untuk Selangor.

Salah satu pasukan yang dilihat meletakkan kepercayaan kepada jenama tempatan, Gombak TOT bakal menyarung jersi jenama D’mensi Legacy. Namun, setakat ini, pasukan tersebut belum mengumumkan secara rasmi reka bentuk jersi yang bakal digunakan mereka nanti.

Terengganu menjadi pasukan kedua yang memilih jenama tempatan iaitu Komii, menjadikan kerjasama yang sudah terjalin diteruskan.

Majoriti pasukan belum memperkenalkan sepenuhnya reka bentuk jersi yang bakal digunakan dan menjelang sepak mula pada Sabtu ini, mungkin kita akan dapat melihatnya satu demi satu, jenama dan reka bentuk jersi yang disarung oleh pasukan di Divisyen 1 nanti.

Pahang Rangers JDT persahabatan 2024 MPFL 2024

Sah! Perhitungan Semula Pahang Rangers, JDT Di Minggu Ke-6

Dua finalis musim lalu, JDT dan Pahang Rangers akan bertemu pada minggu ke-6 Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan jadual penuh bagi divisyen utama negara yang menyaksikan 14 perlawanan akan berlangsung bermula pada 17 Februari hingga 4 Ogos depan, dengan empat perlawanan akan dilangsungkan pada setiap minggu.

Untuk minggu pertama, pastinya tarikan utama adalah di Stadium Tertutup Panasonic pada hari Sabtu menyaksikan Gombak TOT yang akan bertemu JDT pada jam 8.30 malam, selain aksi Selangor yang akan melayan kunjungan Sabah pada Ahad, di lokasi yang sama.

Sabah jadi tumpuan untuk musim ini apabila telah membuat rombakan menarik dengan rekrut terbaik seperti kemasukkan pengendali berpengalaman, Patt Sriwijit selain penyertaan pemain import yang memiliki sentuhan pemusnah di depan gawang, Felipe Leite.

Stadium Tertutup Panasonic menjadi lokasi bagi separuh pasukan yang bersaing iaitu Gombak TOT, Selangor, Shah Alam City dan Sabah.

Selain itu, Pahang Rangers kekal menjadikan Stadium Tertutup SUKPA sebagai gelanggang rasmi mereka, selain JDT yang menggunakan Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Terengganu di Stadium Negeri dan KL City yang akan menggunakan Kompleks Sukan ISN Raja Muda.

Selain pertembungan Gombak TOT menentang JDT dan Selangor menentang Sabah, di lokasi yang sama juga akan berlangsung aksi antara Shah Alam City dan Pahang Rangers iaitu pada hari Sabtu, serta Terengganu yang akan bertemu KL City di Kuala Terengganu.

Aksi yang paling dinantikan pastinya pertembungan dua finalis MPFL dan Piala Futsal Malaysia (MFC) iaitu Pahang Rangers dan JDT yang hanya akan berlangsung pada minggu ke-6 MPFL, pada 25 Mei dengan JDT akan menjadi tuan rumah terlebih dahulu di Pasir Gudang.

Malah, keputusan aksi persahabatan antara kedua-dua pasukan pada awal Februari lalu bakal menyemarakan pertembungan tersebut.

Dalam aksi yang agak panas itu, Pahang Rangers unggul mengatasi JDT dengan keputusan 5-4, dalam aksi yang berlangsung di Kuantan.

Perhitungan semula antara kedua-duanya yang tentunya mahu dimenangi JDT bakal dibawa ke Pasir Gudang pada penghujung Mei depan.