alif mat amin jdt

Ini Statistik Bintang Baharu JDT, Alif Mat Amin

Terdapat satu video yang dimuat naik di YouTube milik Bin Sahin pada 2019 yang memperlihatkan aksi Alif Mat Amin bersama Terengganu di Malaysia Premier Futsal League (MPFL) yang bertajuk, Alif Amin “The Messi of Malaysia Futsal”.

Kita dapat lihat kelibat pemain itu yang berhasil membantu Terengganu menamatkan musim di kedudukan ketiga, di belakang Selangor MAC dan Pahang Rangers. Beliau telah meledak 10 gol dalam musim pertamanya di MPFL ketika itu.

Kelincahan, gelecekan serta kepantasan Alif membuatkan pemilik akaun YouTube itu membandingkannya dengan bintang bola sepak dunia, Lionel Messi. Beliau turut berkata jurulatih skuad kebangsaan wajar memerhatikan pemain ini.

Sebelum menyertai Terengganu, beliau beraksi di Liga Futsal IPT bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan KPT PST Mustang. Kecemerlangan olahragawan UTHM 2019 itu menarik minat Terengganu untuk memancingnya. Sayangnya, MPFL tidak dilangsungkan selama dua tahun bermula pada 2020 hingga 2021 disebabkan pandemik Covid. Pemain yang baru mula membina nama sepertinya dilihat boleh terjejas dan berpotensi untuk terus tenggelam.

Begitupun, bakatnya tetap mendapat perhatian pengendali skuad kebangsaan ketika itu, Chiew Chun Yong dan beliau mendapat panggilan pertiwi pada 2021 waima liga tidak berlangsung. Malah, pada 2022, beliau sah menyertai kelab gergasi futsal negara, Pahang Rangers. Pada musim pertamanya, beliau telah berhasil mencetak tiga gol peribadi.

Pada 2023, Alif meneruskan prestasi baiknya dengan mencetak lima gol, masing-masing empat di saingan liga dan satu di Malaysia Futsal Cup (MFC). Namun, jodohnya bersama Pahang Rangers berakhir di situ dan pemain kelahiran Dungun ini telah kembali menabur bakti bersama Terengganu yang menagih kudrat pemain tempatan dalam saingan Divisyen 1.

Beliau kembali dengan prestasi terbaik di usia 26 tahun dengan mencetak tujuh gol peribadi, namun gagal membantu Terengganu untuk menamatkan musim di kedudukan yang lebih baik – kedua tercorot, 13 mata di depan KL City.

Adakah menyertai JDT akan menjadi satu momen terbaik dalam kariernya yang kembali berputik? Adakah beliau akan kembali menyarung jersi skuad kebangsaan dengan penyertaannya ke JDT? Segalanya bakal terjawap pada musim ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top