Selangor JDT MPFL 2024

Apa Yang Berlaku Dalam 6 Minit Sewaktu JDT Tewas

Enam minit terakhir yang hangat menyelubungi aksi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) antara Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selangor bukan sahaja berhasil menghadiahkan kekalahan pertama buat JDT untuk musim ini apabila menang 2-1 dalam aksi minggu ke-10, malah kemenangan berharga itu turut membantu mereka memintas kedudukan Pahang Rangers di tangga kedua, Divisyen 1.

Perlawanan pada awalnya dilihat agak seimbang walaupun JDT turun dengan penampilan pemain skuad kebangsaan Brazil, Bruno Taffy. Babak pertama berakhir dengan kedudukan terikat tanpa jaringan dengan JDT memiliki lebih peluang untuk memecah kebuntuan.

Malah, kekentalan penjaga gol Selangor, Syawal Sabaruddin menambah rencah kehangatan perlawanan yang berlangsung di KSN Panasonic, Shah Alam itu. Beliau menafikan beberapa peluang terbaik yang berjaya dicipta sejak dari permulaan perlawanan lagi.

Sementara tuan rumah pula hanya beberapa kali dilihat tampil menguji penjaga gawang lawan, Aiman Fikry Ramli, namun tidak berbahaya.

Menuju enam minit terakhir perlawanan, suasana hangat mula menyelubungi aksi kedua-dua pasukan, selepas JDT memperolehi jaringan menerusi Bruno Taffy. Dua pegawai pasukan tuan rumah telah diarah meninggalkan gelanggang apabila menerima layangan kad merah.

Ia diikuti dengan layangan kad merah kepada Aiman Fikry pada minit ke-38 yang berpunca daripada kekasaran yang dilakukannya terhadap Well Pereira. Begitupun, Selangor gagal memanfaatkan penalti itu apabila sepakan Well Pereira dinafikan oleh tiang gol.

Kegagalan Well Pereira ditebus semula tidak lama selepas itu menerusi ledakan jarak jauh Gabriel Rosa untuk mengikat kedudukan.

Syahir Iqbal Khan muncul wira buat Selangor di saat-saat akhir perlawanan, juga menerusi ledakan jarak jauh menewaskan Azrul Hadee.

Enam minit yang cukup panjang dihiasi deretan kad merah dan susunan ledakan gol – selepas 34 minit perlawanan berlalu. JDT akhirnya tumbang buat kali pertama, namun masih di takhta liga dengan 27 mata, enam mata di depan Selangor, penghuni baharu tangga kedua.

Start a Conversation