Guntur Sulistyo Gombak TOT MPFL 2024

Tak Cukupkah Magis Ciptaan Guntur Buat Gombak TOT?

Ala dari Indonesia, Guntur Sulistyo sudah berikan segalanya pada musim pertamanya, saat menyarung jersi Gombak TOT dalam pusingan pertama Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024, namun pasukannya itu tampak bergelut untuk mengekalkan konsistensi.

Secara teknikalnya ini musim keduanya setelah bersama pasukan itu untuk dua perlawanan pada musim lalu, ketika di saingan Piala Futsal Malaysia (MFC) 2023. Mereka tewas dan disingkir Pahang Rangers, namun beliau cemerlang meledak tiga gol dalam dua aksi tersebut.

Ketika ini, mereka berada di tangga ke-6 liga apabila hanya melakar tiga kemenangan dan empat kekalahan selepas melalui tujuh aksi.

Adakah Guntur sedang menggalas cabaran besar bersendirian, memimpin ‘unit gempur’ Gombak TOT bersaing dalam liga musim ini?

Berdasarkan prestasinya sehingga kini, beliau merupakan tonggak harapan pengendali, Qusmaini Noor untuk memacu pasukan tersebut.

Dalam tujuh perlawanan yang dilalui, Guntur telah berhasil mencetak sembilan gol – ketiga terbanyak di liga. Malah beliau satu-satunya penjaring empat gol dalam satu perlawanan di pusingan pertama ketika mereka membenam cabaran Sabah dengan keputusan 7-5.

Malah beliau sudah tiga kali diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan ketika mereka berdepan Sabah, Terengganu dan KL City.

Adakah di pusingan kedua nanti mereka masih menagih magisnya dalam setiap perlawanan? Atau mungkin ada pemain lain akan bangkit untuk bersama-samanya memberikan sumbangan terbaik bagi memperbaiki kedudukan pasukan sebelum musim berakhir?

Mungkin juga kita bakal menyaksikan perubahan pemain tatkala jendela pendaftaran kedua pemain yang bakal dibuka pada 8 Jun?

Start a Conversation