Skuad Juara AFF 2022 Jadi Sandaran Futsal Thailand Di Hanoi

Thailand mengekalkan keseluruhan pemain yang menjulang Kejuaraan Futsal AFF 2022 bulan lalu untuk membawa cabaran gergasi futsal Asia Tenggara tersebut dalam saingan Sukan SEA di Hanoi bermula 11 Mei nanti.

Dengan senarai yang baharu sahaja dikeluarkan sebentar tadi, ini bermakna Muhammad Osamanmusa dan Kritsada Wongkaeo akan terus menjadi sandaran utama buat Thailand dalam usaha memburu pingat emas kelima berturut-turut temasya dwitahunan tersebut.

Di samping 14 pemain yang dikekalkan, Carlos Cesar Nunez Gago turut menyenaraikan dua pemain baharu iaitu Chaowala Srivaut (Bangkok City) dan pemain Port FC, Thanathip Saengsang.

Sementara itu, hanya lima pemain dari skuad 2017 yang dikekalkan iaitu Kritsada, Osamanmusa, Apiwat Chamcharoen, Ronnachai Jungwongsuk dan penjaga gol (goleiro), Katawut Hankampa.

“Kami berterusan bekerja dengan keras. Semua orang mahu memenangi pingat emas Sukan SEA untuk dihadiahkan kepada seluruh peminat futsal Thailand.”

“Semua orang telah melalui pelbagai pengalaman dan situasi sebenar seperti kejohanan AFF, dimana kami cuba untuk terus bekerja dengan membawa kejayaan pingat emas Sukan SEA 2021 kembali ke Thailand,” ujar Carlos Cesar menurut sumber Futsal Thailand.

Sebagai rekod, futsal mula dipertandingkan dalam Sukan SEA pada edisi 2007 yang berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand.

Daripada 17 perlawanan yang dilalui sejak kali pertama dipertandingkan, Thailand menang 16 perlawanan dan hanya tewas sekali iaitu pada edisi 2017 di Kuala Lumpur apabila mereka tumpas di tangan Indonesia dengan keputusan 2-4.

Kekalahan itu bagaimanapun tidak menganggu rentak skuad Thailand yang kemudiannya bangkit untuk mencatatkan dua kemenangan bertemu Myanmar dan Malaysia sekali gus memastikan pingat emas terus menjadi milik mereka.

Berikut adalah senarai penuh pemain Thailand yang akan beraksi di Sukan SEA Hanoi nanti:

Katawut Hankampa – Goleiro
Panurat Oran – Goleiro
Kritsada Wongkeao – Fixo
Ronnachai Jungwongsuk – Fixo
Sarawut Phalaphruek – Fixo
Chaowala Srivaut – Fixo
Krit Aransanyalak – Ala
Supakorn Bovonratcadakul – Ala
Therdsak Charoenphong – Ala
Panut Kittipanuwong – Ala
Tanapol Maneepetch – Ala
Apiwat Chaemcharoen – Ala
Peerapat Kaewwilai – Pivot
Atsadawut Jangkot – Pivot
Muhammad Osamanmusa – Pivot
Thanathip Saengsang – Pivot

Sumber Gambar: Futsal Thailand