Jangan Diperam, Sila Beri Peluang Kepada Muka Baharu!

Barisan yang sama dapat disaksikan dalam skuad futsal kebangsaan bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam bermula 11 Mei ini apabila pengendali pasukan, Chiew Chun Yong mengekalkan 14 daripada 16 pemain yang secara rasminya akan membawa cabaran negara nanti.

Daripada senarai tersebut, hanya Ahmad Aqil Khalis Adli Khairuz (TRW Kelantan) dan Syed Aizad Daniel Syed Nasir dari Selangor MAC dibawa masuk bagi menggantikan Akmarulnizam Idris dan Joshua Lee yang beraksi pada saingan Kejuaraan Futsal AFF 2022 di Bangkok, tempoh hari.

Sekiranya mendapat kepercayaan daripada Chun Yong untuk diturunkan , Aqil Khalis bakal membuat penampilan pertamanya bersama skuad kebangsaan manakala Syed Aizad Daniel akan kembali ke kancah futsal antarabangsa kerana beliau sebelum ini seringkali dipanggil untuk memperkuatkan skuad kebangsaan.

Sehubungan dengan itu, kehadiran semula Syed Aizad berbekalkan kreativitinya ketika beraksi pasti ditagih oleh skuad negara dalam memberikan sesuatu yang lebih bermakna kali ini.

Selain itu, dua tonggak Pulau Pinang iaitu Muhammad Firdaus Zulkefli dan Iqhmal Najmie Ismail yang sebelum ini hanya berada di tempat duduk penonton ketika di Bangkok dapat diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka.

Bagi peminat yang mengikuti dengan lebih dekat saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2022, Firdaus terkenal dengan mobiliti serta bijak membuka ruang kepada rakan sepasukan untuk mendapatkan jaringan.

Firdaus Zulkefli

Sementara itu, Iqhmal Najmie memiliki kaki kiri yang cukup ‘jahat’ dengan ledakan-ledakan berbisa mampu dijelmakan dan ia mungkin dapat menjadi senjata utama buat skuad negara sekiranya khidmatnya diperlukan.

Alang-alang sudah dibawa ke Hanoi, berilah peluang kepada mereka termasuklah Aqil Khalis untuk menampilkan segala termampu oleh mereka selain daripada hanya bergantung harap kepada barisan pemain yang sama setiap perlawanan.

Namun begitu, ia juga bukanlah untuk memandang rendah keupayaan pemain-pemain lama yang sememangnya berpengalaman luas dalam menyarung jersi skuad kebangsaan.

Skuad futsal negara dijadualkan terbang ke Ho Chi Minh City, Vietnam pada hari ini bagi menghadapi beberapa perlawanan persahabatan di sana sebelum terbang ke Hanoi pada Ahad, 8 Mei 2022 bagi menghadapi aksi sebenar Sukan SEA 2021 yang mana acara futsal lelaki akan dijalankan secara format liga sepusingan.

Malaysia dijadual bertemu Thailand untuk perlawanan pertama pada Rabu, 11 Mei 2022, jam 2.00 petang (waktu Malaysia), diikuti aksi berikutnya bertemu Vietnam pada Sabtu, 14 Mei, jam 5.00 petang, Indonesia pada Isnin, 16 Mei, jam 2.00 petang dan Myanmar pada Jumaat, 20 Mei, jam 2.00 petang.

Walau apa jua yang terjadi Arena Futsal Malaysia tetap mendoakan yang terbaik buat pasukan negara!

Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)