Langkah Kanan Buat Vietnam Selepas Tundukkan Port FC 5-3

Skuad futsal Vietnam mendapat tonik berguna menjelang sepak mula Sukan SEA 2021 di Hanoi selepas berjaya menundukkan pasukan tangga keempat Liga Futsal Thailand 2022, Port FC 5-3 pada perlawanan ujian pertama yang diadakan di Bangkok.

Status selaku pasukan tuan rumah sudah pasti mahu digunakan sepenuhnya oleh pengendali pasukan, Pham Minh Giang untuk memantapkan barisan pemain dengan mengadakan sesi perlawanan ujian di Thailand.

Ia jelas menunjukkan Vietnam begitu serius dalam usaha mereka untuk memperbaiki pencapaian pada edisi 2017 dimana mereka sekadar mendapat pingat gangsa yang menyaksikan Thailand meraih pingat emas dan Malaysia selaku tuan rumah dengan pingat perak.

Vietnam merupakan pasukan yang menamatkan kempen Kejuaraan Futsal AFF 2022 tempoh hari di tangga ketiga sekali gus turut menempah tiket ke Kejuaraan Futsal AFC pada September nanti.

Perlawanan bertemu Port FC nyata bukanlah satu aksi mudah yang terpaksa dilalui Vietnam kerana pasukan lawan dibarisi beberapa pemain berpengalaman dalam kancah Piala Dunia Futsal yang sudah diketahui kualiti hebat dimiliki mereka.

Antara pemain dimaksudkan adalah peledak berbisa yang tidak perlu diperkenalkan lagi iaitu Jetsada Chudech, Nattawut Matyalan, Chaivat Jamrajang dan penjaga gol, Kanison Phoopun.

Selain bertemu Port FC, Vietnam juga akan berhadapan dengan dua lagi pasukan saingan liga di negara gergasi futsal Asia Tenggara tersebut iaitu Black Pearl United dan Thammasat Stallion.

Black Pearl United yang merupakan sebuah pasukan meningkat naik menamatkan saingan liga musim ini di tangga kelima manakala Thammasat Stallion pula di kedudukan keenam.

Foto: Port Futsal Club