Pahang Rangers JDT persahabatan 2024 MPFL 2024

Sah! Perhitungan Semula Pahang Rangers, JDT Di Minggu Ke-6

Dua finalis musim lalu, JDT dan Pahang Rangers akan bertemu pada minggu ke-6 Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan jadual penuh bagi divisyen utama negara yang menyaksikan 14 perlawanan akan berlangsung bermula pada 17 Februari hingga 4 Ogos depan, dengan empat perlawanan akan dilangsungkan pada setiap minggu.

Untuk minggu pertama, pastinya tarikan utama adalah di Stadium Tertutup Panasonic pada hari Sabtu menyaksikan Gombak TOT yang akan bertemu JDT pada jam 8.30 malam, selain aksi Selangor yang akan melayan kunjungan Sabah pada Ahad, di lokasi yang sama.

Sabah jadi tumpuan untuk musim ini apabila telah membuat rombakan menarik dengan rekrut terbaik seperti kemasukkan pengendali berpengalaman, Patt Sriwijit selain penyertaan pemain import yang memiliki sentuhan pemusnah di depan gawang, Felipe Leite.

Stadium Tertutup Panasonic menjadi lokasi bagi separuh pasukan yang bersaing iaitu Gombak TOT, Selangor, Shah Alam City dan Sabah.

Selain itu, Pahang Rangers kekal menjadikan Stadium Tertutup SUKPA sebagai gelanggang rasmi mereka, selain JDT yang menggunakan Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Terengganu di Stadium Negeri dan KL City yang akan menggunakan Kompleks Sukan ISN Raja Muda.

Selain pertembungan Gombak TOT menentang JDT dan Selangor menentang Sabah, di lokasi yang sama juga akan berlangsung aksi antara Shah Alam City dan Pahang Rangers iaitu pada hari Sabtu, serta Terengganu yang akan bertemu KL City di Kuala Terengganu.

Aksi yang paling dinantikan pastinya pertembungan dua finalis MPFL dan Piala Futsal Malaysia (MFC) iaitu Pahang Rangers dan JDT yang hanya akan berlangsung pada minggu ke-6 MPFL, pada 25 Mei dengan JDT akan menjadi tuan rumah terlebih dahulu di Pasir Gudang.

Malah, keputusan aksi persahabatan antara kedua-dua pasukan pada awal Februari lalu bakal menyemarakan pertembungan tersebut.

Dalam aksi yang agak panas itu, Pahang Rangers unggul mengatasi JDT dengan keputusan 5-4, dalam aksi yang berlangsung di Kuantan.

Perhitungan semula antara kedua-duanya yang tentunya mahu dimenangi JDT bakal dibawa ke Pasir Gudang pada penghujung Mei depan.

Start a Conversation