Pulau Pinang futsal 2023

ATM, Pulau Pinang ‘Terpaksa’ Bawa Diri Ke Divisyen 2

Dalam pengumuman rasmi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hanya lapan pasukan bakal bersaing di Divisyen 1, musim depan. Ini menyaksikan dua buah pasukan ‘hilang’ daripada radar, seterusnya mengurangkan pasukan yang bersaing di divisyen utama tersebut.

Lapan pasukan tersebut adalah Gombak TOT United, JDT, KL City, Pahang Rangers, Sabah, Selangor, Shah Alam City dan Terengganu.

Selain Pulau Pinang, sebuah pasukan lagi adalah ATM, yang berpengalaman di pentas futsal negara sejak Liga Futsal Kebangsaan (LFK) lagi.

Begitupun, difahamkan Pulau Pinang dan ATM hanya akan bersaing di Divisyen 2 yang masih belum diumumkan tarikh sepak mulanya.

Menurut FAM dalam pengumuman awal mengenai pengenalan dua divisyen untuk liga futsal negara sekitar November lalu, sebanyak 10 pasukan akan bersaing di Divisyen 1 dan bakinya akan beraksi di Divisyen 2 yang akan diperkenalkan bermula pada musim hadapan.

Untuk tahun depan hanya 10 pasukan terbaik MPFL 2023 akan beraksi di Divisyen 1 yang mana ia akan dimainkan secara ‘home’ dan ‘away’.

Manakala untuk Divisyen 2 pula, baki empat pasukan dari MPFL 2023 akan bermain dengan tambahan daripada pasukan lain yang mana ia akan dimainkan secara sirkit,jelas Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM.

Pulau Pinang sejak awal sudah diketahui sedang melalui masalah untuk mendapatkan dana mancukupi untuk bersaing di MPFL 2024.

Skuad yang menamatkan musim lalu di kedudukan kedua Kumpulan A, seterusnya mara ke suku akhir MPFL dan Piala Malaysia Futsal (MFC) itu akhirnya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada divisyen utama selepas gagal mendapatkan dana yang cukup.

Difahamkan, keputusan itu terpaksa diambil apabila Divisyen 2 akan bermain secara sirkit yang tidak memerlukan dana yang lebih besar.

Untuk ATM, tidak dapat dipastikan punca mereka hanya bersaing di Divisyen 2, namun mungkin atas faktor yang sama iaitu dana dan kos.

Selepas hilang selama lapan tahun, mereka telah kembali untuk dua musim. Untuk musim 2022, mereka menamatkan saingan di tangga ke-13 liga dan pada musim lalu, mereka berada di kedudukan kelima Kumpulan A dengan mengumpul 10 mata dalam 12 perlawanan.

Start a Conversation