Respect FC Kembali Bernyawa Selepas Diambil Alih Syarikat Antarabangsa

Kem Respect FC (RFC) mendapat pengkhabaran gembira untuk menghadapi baki satu lagi baki aksi Liga M3 2022 apabila syarikat konglomerat antarabangsa, Kumpulan SRAM & MRAM telah bersetuju untuk menjadi pemilik kelab tersebut.

Kehadiran syarikat berpengkalan di London itu sekali gus dianggap sebagai penyelamat buat RFC dimana kelab tersebut berdepan masalah tunggakan gaji yang difahamkan sudah memasuki enam bulan.

Satu keadaan yang saban tahun kian membarahi kancah bola sepak tempatan tanpa mengira saingan liga dan ia juga tidak terkecuali dalam kempen Liga Super serta Liga Premier.

Bercakap dalam sidang media di Ipoh pada Sabtu lalu, Datuk Seri SK Devamany yang merupakan Penaung RFC menyifatkan Kumpulan SRAM & MRAM merupakan satu entiti besar dan mampu untuk menjelmakan perkembangan positif buat pemain dan kelab tersebut.

“Pemilik baharu ini merupakan sebuah syarikat berdaya saing serta dilihat mampu untuk memberikan sumbangan yang cukup besar bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga antarabangsa.”

“Paling menarik, pihak pengurusan juga telah bersetuju untuk berkongsi saham syarikat dengan para pemain. Bagi saya, perkara ini merupakan sesuatu yang baharu dalam kancah bola sepak tanah air,” 

Beliau juga turut memberikan jaminan bahawa kumpulan tersebut akan menyelesaikan segala tunggakan gaji serta komitmen lain yang dikhabarkan mencecah RM300,000 dengan kadar segera.

Turut hadir dalam sidang media yang diadakan di Stadium Perak, Ipoh itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SRAM & MRAM, Dr Hemalata Arumugam serta Pengarah Pentadbiran Global, Nigel Jones.

Meskipun dirundung dengan pelbagai masalah melibatkan kewangan sejak daripada perlawanan ketiga liga lagi, RFC yang dibimbing S. Sathiakumaran masih mampu untuk memberikan cabaran sengit kepada pasukan lain apabila berjaya menewaskan pasukan yang kini sedang mengintai peluang ke suku akhir seperti PIB FC dan Perlis United.

RFC kini menghuni tangga ketujuh dengan 19 mata hasil lima kemenangan, empat keputusan seri dan lapan kekalahan. Dengan perkembangan terbaharu ini sudah pastinya musim hadapan akan menjanjikan sesuatu yang lebih menarik daripada RFC.