Perak Futsal Bakal Tampil Dengan Lebih Garang?

Selain daripada dominasi berterusan Selangor MAC dalam kancah futsal tanah air selepas muncul juara berganda Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dan Piala Futsal Malaysia, prestasi hambar skuad futsal Perak pada musim ini merupakan perkara yang mengejutkan.

Sekiranya pada edisi atau pertandingan sebelum ini mereka dilabel sebagai pasukan yang mampu untuk bersaing hebat di kelompok atas, Perak berubah menjadi pasukan belasahan dengan sekelip mata.

Lebih menyedihkan Perak menamatkan kempen liga di kedudukan terbawah dan hanya mampu mencatatkan satu kemenangan dan satu keputusan seri daripada 14 perlawanan.

Satu keadaan yang langsung tidak pernah dilalui oleh pasukan Perak sejak mula terlibat dalam saingan liga utama futsal di Malaysia sejak musim 2013/14 (ketika itu Liga Futsal Kebangsaan).

Tanpa mahu menyalahkan para pemain pada musim ini yang pastinya sudah memberikan yang terbaik serta berhempas-pulas untuk beraksi tetapi keadaan ini perlu diambil serius oleh pihak berkenaan sekiranya tidak mahu Perak berterusan hanya menjadi pasukan pelengkap jadual.

Malah, ia turut akan memarakkan lagi api kemarahan para penyokong Perak yang cukup dikenali dengan kesetiaan dan kelantangan mereka dalam memberikan sokongan buat pasukan.

Kredit gambar: Perak Futsal

Melihatkan kepada perkara tersebut, terdapat ura-ura yang mengatakan Perak mahu bangkit daripada lamunan tersebut dengan penglibatan beberapa individu yang tidak asing bagi sukan futsal di negeri tersebut.

Difahamkan sudah terdapat gerakan jitu dalam merangka perancangan baharu untuk membawa kembali Perak menjadi sebuah pasukan yang mampu memberikan saingan sengit buat Selangor MAC dan Pahang Rangers.

Menurut sumber yang dipercayai, perbincangan untuk membawa masuk penaja dari Asia Timur juga sedang giat dijalankan bagi membolehkan pengurusan baharu mengimplementasikan langkah lebih teratur selepas ini.

Ia juga akan merintis kepada kehadiran pemain import berkualiti untuk digandingkan bersama bakat sedia ada di Perak dan tambahan beberapa pemain baharu dari pasukan lain.

Kehadiran pengarah teknikal serta ketua jurulatih yang berkemungkinan dari luar negara turut menjadi tumpuan utama sekiranya usaha ini menjadi kenyataan.

Menarik untuk melihat sejauh mana ura-ura tersebut mampu diterjemahkan menjadi kenyataan, sama-sama kita nantikan!

Kredit gambar: Perak Futsal