Misi Besar Ricardinho Bersama Pendekar United

Kancah futsal di Asia Tenggara dikejutkan dengan berita sensasi apabila legenda hidup futsal dunia, Ricardinho diumumkan sebagai pemain baharu Pendekar United, sebuah kelab dalam saingan Liga Futsal Profesional Indonesia (PFL) 2021.

Difahamkan pemain berusia 36 tahun itu mengikat kontrak selama tiga bulan atau lebih tepat lagi sehingga tamat saingan PFL musim ini. Pendekar United pada ketika ini berada di tangga keempat selepas mengharungi 11 perlawanan.

Ini bermakna Ricardinho mempunyai banyak perlawanan untuk memberikan sumbangan berkesan buat kelab yang dimiliki oleh youtuber terkenal Indonesia itu, Atta Halilintar.

Mengulas mengenai cabaran baharunya di Indonesia, Ricardinho menegaskan beliau mempunyai misi besar untuk dilaksanakan di kelab Asia yang kedua disertainya selepas Nagoya Oceans pada tahun 2010.

“Pengembaraan baharu. Mengumumkan bahawa saya telah bersetuju dengan kelab baru dan saya pasti ia akan menjadi pengembaraan yang hebat di negara yang berbeza.”

“Ini merupakan satu projek yang sangat bercita-cita tinggi. Di sebuah negara yang begitu meminati sukan futsal dan saya sangat bersedia untuk membantu kelab ini mencapai sesuatu yang unik,” jelas Ricardinho menurut kenyataan dikeluarkan di laman sosial peribadi miliknya.

“Ia merupakan kontrak selama 3 bulan sehingga musim berakhir dan selepas itu kami akan memutuskan sama ada mahu meneruskannya atau tidak.”

Kemampuan Ricardinho sememangnya tidak perlu untuk diperdebatkan selepas beliau pernah menjulang trofi Piala Dunia dan Kejuaraan Eropah serta turut bergelar pemain futsal terbaik dunia sebanyak enam kali.

Sumber foto: Ricardinho