Piala AFF 2020 Menjadi Bukti Betapa Rapuhnya Benteng Pertahanan Harimau Malaya

FA Malaysia

Pada kejohanan Piala AFF 2020 tahun lepas, ternyata diakui bahawa Malaysia tidak menurunkan senarai pemain terbaik kerana beberapa pemain berhadapan masalah yang tidak dapat dielakkan. Antara posisi yang sangat goyah adalah posisi pertahanan.

Ketiadaan dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Matthew Davies dan Corbin-Ong pada kejohanan tersebut dilihat memberikan kesukaran buat bekas jurulatih negara, Tan Cheng Hoe untuk menurunkan barisan pertahanan terbaik Harimau Malaya.

Walaupun Malaysia berjaya mencipta kemenangan pada dua perlawanan awal, namun kelemahan barisan pertahanan Harimau Malaya jelas terserlah ketika perlawanan menentang Vietnam dan Indonesia.

Pada kejohanan Piala AFF itu, Tan Cheng Hoe kerap kali menggunakan Rizal Ghazali di bahagian pertahanan kanan dan Syahmi Safari di bahagian pertahanan kiri. Selain itu, Dion Cools juga membantu selaku pertahanan tengah.

Namun tidak pasti apa yang telah terjadi kerana barisan pertahanan negara sangat mudah ditembusi dan lebih menyedihkan kita telah tewas besar kepada musuh tradisi, Indonesia dengan keputusan 1-4.

Jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon pasti ada pilihan tersendiri untuk membarisi barisan pertahanan skuad negara. Dalam siri perlawanan persahabatan di Singapura, prestasi pemain pertahanan semakin baik. Antara pemain yang menyerlah adalah Khuzaimi Piee dan juga Corbin-Ong.

Diharapkan pada pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur nanti bakal menyaksikan barisan pertahanan terbaik yang akan menyarung jersi negara. Ditambah pula dengan kehadiran ribuan penyokong, sudah tentu para pemain lebih bersemangat.