Kurang Aksi Persahabatan Antarabangsa, FAM Hantar Skuad Futsal Negara Ke Ho Chi Minh

Tiada sebarang perubahan dapat disaksikan dalam senarai pemain yang dipanggil ketua jurulatih, Chiew Chun Yong bagi menjalani latihan pusat skuad futsal kebangsaan sebagai persiapan untuk menghadapi temasya Sukan SEA 2021.

Chun Yong masih meletakkan kepercayaan kepada 16 pemain yang dibawa ke Bangkok pada awal bulan lalu dimana skuad negara gagal untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Futsal AFF 2022 selepas tunduk di tangan Thailand dan Indonesia.

Malah, empat pemain lain yang dipanggil juga bukanlah asing dari kaca mata pengendali berusia 49 tahun itu selepas turut menampilkan penjaga gol PDRM, Nur Hazim Suleiman, Muhammad Farikh Khabibor Rahman (Pahang Rangers), Muhammad Hikmal Firdaus Muhammad Darul Ridzuan dari Pulau Pinang dan tonggak Kelantan, Ahmad Aqil Khalis Adli Khairuz.

Keempat-empat pemain tersebut sebelum ini turut menjalani latihan pusat skuad kebangsaan sebelum mereka digugurkan daripada senarai 16 orang pemain ke Bangkok.

Sekiranya persiapan singkat dan tiada aksi persahabatan menjadi antara alasan utama kegagalan di Kejuaraan Futsal AFF tempoh hari, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah merangka perancangan lebih rapi kali ini apabila membenarkan skuad negara menjalani latihan pusat di Ho Chi Minh City untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di sana.

Kesempatan tersebut perlu digunakan sepenuhnya oleh Chun Yong dan barisan pemain yang bakal terpilih untuk memperbaiki segenap aspek kelemahan untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dengan memenangi pingat perak.

Namun, seperti diketahui dengan bangkitnya Indonesia yang jelas semakin menunjukkan peningkatan mendadak serta perubahan ketara ditampilkan Myanmar dibawah kendalian Bunlert Charoenwong dari Thailand, tugas skuad negara tidaklah semudah disangka.

Apatah lagi Thailand tampil dengan lebih segar berikutan kehadiran muka-muka baharu yang cukup berkualiti seperti pengaruh ditampilkan Krit Aransanyalak dan Panut Kittipanuwong manakala cabaran Vietnam juga tidak boleh dipandang enteng barisan pemain negara.

Hakikat itu turut diakui sendiri Chun Yong yang lebih bersikap realistik dalam sidang media petang semalam dengan mensasarkan untuk skuad negara meraih pingat gangsa di Hanoi nanti.

Skuad negara akan memulakan latihan di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya terlebih dahulu bermula 29 April hingga 2 Mei nanti dan sehari kemudiannya akan berlepas ke Ho Chi Minh City sebelum terbang ke Hanoi untuk menghadapi saingan sebenar pada 8 Mei.

Difahamkan, skuad futsal wanita negara yang dibimbing Jamhuri Zainuddin juga turut akan bersama-sama pasukan lelaki untuk menghadapi perlawanan persahabatan di Ho Chi Minh.

Berikut adalah barisan 20 pemain yang dipanggil menyertai sesi latihan skuad futsal kebangsaan dimana hanya 16 orang akan disenarai pendek untuk ke Vietnam:

Sumber foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)