JDT Pahang Rangers MPFL 2024

Petanda Mahkota Pahang Rangers Bakal Dirampas

Kekalahan tipis 3-4 Pahang Rangers kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tertutup Pasir Gudang tempohari seakan-akan memberi petanda awal yang kejuaraan liga yang sedang digengam pasukan dari Pantai Timur itu bakal bertukar tangan untuk musim ini.

Untuk musim lalu, Pahang Rangers bergelar juara berganda selepas dua kali mengecewakan JDT iaitu dalam aksi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) diikuti Piala Futsal Malaysia (MFC) yang menyaksikan lawan mereka itu kempunan mendakap kejuaraan di musim debut.

Dua gol Awalluddin Mat Nawi dan satu gol oleh Danial Abdul Dain serta Ridzwan Bakri cukup untuk buat Pahang Rangers terduduk.

Sementara tiga gol pasukan pelawat dicipta oleh pivot sensasi, Felipe De Almeida Souza, Ahmad Harith Naim dan gol sendiri Helio Neto.

Adakah ini petanda awal bahawa JDT sudah bersedia untuk mengambil alih takhta kejuaraan milik Pahang Rangers pada musim ini?

Selepas tewas dua kali di pentas final MPFL dan MFC, JDT tewas 4-5 dalam aksi persahabatan menjelang musim baharu, Februari lalu. Tiga keputusan tewas itu sedikit sebanyak telah menghangatkan pertembungan kedua-dua pasukan yang akhirnya memihak kepada JDT.

Dalam pada itu, JDT terus memimpin carta Divisyen 1 MPFL dengan rekod bersih, enam kemenangan dengan 18 mata maksimum.

Mereka terus diekori Pahang Rangers yang dipisahkan lima mata hasil daripada empat kemenangan, satu seri dan satu kekalahan. Tangga ketiga dihuni Shah Alam City yang berjaya mengumpul 10 mata selepas melakar tiga kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.

Start a Conversation