Nama Guntur Sulistyo kian meniti di bibir pengikut futsal negara tatkala membantu Gombak TOT melonjak naik ke tangga ke-2, Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024, malah beliau kini adalah pendahulu carta penjaring terbanyak dengan tujuh gol peribadi.
Selepas minggu ke-2, Gombak TOT sekadar menduduki kedudukan ke-6 daripada lapan pasukan selepas melakar kemenangan pertama, mengatasi Sabah 7-5. Pada minggu pertama, mereka dibelasah tanpa ehsan oleh pencabar kejuaraan liga, JDT dengan keputusan 1-6.
Arena Futsal menjangkakan Guntur mampu untuk merosakkan parti JDT pada minggu pertama, namun ia tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya, beliau mencipta sensasi pada minggu ke-2 dengan meledak lima gol, diikuti dengan dua gol pada minggu ini untuk memimpin carta penjaring terbanyak. Beliau merupakan bintang futsal Indonesia yang sangat lincah dan pantas, malah kedua-dua kakinya ‘hidup’.
Berdepan Terengganu di halaman sendiri, Gombak TOT meraih tiga mata dengan kemenangan 4-2 hasil dua gol Guntur serta Nursyafiq Madselan dan gol sendiri, Alif Mat Amin. Untuk pasukan pelawat, Syed Shahrul Niezam muncul sebagai penjaring gol buat mereka.
JDT gagal meneruskan pesta jaringan mereka di minggu ketiga selepas menang 4-1 ke atas Shah Alam City di KSN Panasonic, Shah Alam.
Sebelum ini mereka menang 6-1 ke atas Gombak TOT, diikuti 8-1 ke atas Terengganu. Namun, berbeza minggu ini, jurang gol mereka telah dikecilkan oleh Shah Alam City. Pada awalnya, seakan-akan keputusan besar bakal berlaku apabila JDT meledak tiga gol dalam lapan minit.
Caio Cesar mencipta jaringan di minit pertama, diikuti Abu Haniffa Hasan di minit ke-7 diikuti Mahadir Harahap, seminit kemudian.
Kedudukan 3-0 itu kekal sehingga ke minit ke-37 sebelum Caio meledak gol ke-4 buat pelawat dan kedua peribadinya. Isayas Figueiredo menutup perlawanan dengan gol saguhati buat tuan rumah di hujung aksi untuk JDT meraih tiga mata untuk tiga minggu berturut-turut.
Mereka kini gah di takhta liga dengan sembilan mata, meledak 18 gol – tertinggi dan melepaskan tiga gol – terendah, di saingan Divisyen 1.
KL City masih kekal tanpa sebarang mata apabila tumbang 1-6 kepada Selangor. Mereka kekal dibolosi dengan jurang lima gol selepas tiga perlawanan – tewas 1-6 kepada Terengganu pada minggu pertama diikuti tumbang 3-8 kepada Shah Alam City dalam aksi minggu lalu.
Selangor menebus semula dua minggu tanpa mata – tewas 2-3 kepada Sabah dan tewas 4-8 kepada juara berganda, Pahang Rangers.
Well Pereira dan Khairul Effendy, masing-masing meledak dua gol peribadi, Syahir Iqbal Khan dan Faris Johan, melengkapkan enam gol buat tuan rumah. Begitupun, pasukan pelawat hanya membawa pulang satu jaringan saguhati hasil ledakan Navin Das Arokiadass.
Aksi minggu ke-3 berbaki satu lagi perlawanan yang melibatkan pertembungan antara Pahang Rangers dan Sabah pada 10 Mac depan.