Percubaan Pertama Coach Syahidah Berjaya
On September 28, 2018 by WanShaSyahidah Nurashikin Binti Samshool atau lebih dikenali sebagai Sepet muncul sebagai pembantu jurulatih dalam temasya SUKMA Perak baru-baru ini. Ianya menjadi kelainan berbanding pasukan lain kerana dia satu-satunya jurulatih wanita yang melibatkan diri dalam kejurulatihan di temasya tersebut. Jom ikuti temu bual kami bersama Coach Syahidah.
AFM : Difahamkan ini merupakan kali pertama coach bawa pasukan besar di SUKMA. Apa perasaan coach apabila berjaya mendapat naib johan dalam kejohanan ini?
CS : Betul. Ini adalah julung kalinya saya terlibat dengan pasukan futsal selaku pembantu jurulatih. Sebelum ini, saya hanya sebagai pemain. SUKMA adalah salah satu sukan terbesar di Malaysia, dan memegang gelaran selaku naib juara adalah pencapaian yang amat membanggakan bagi saya dan pasukan. Saya sangat berpuas hati!
AFM : Apa pendapat coach tentang perlawanan yang dihadapi pasukan Johor?
CS : Dilabel selaku pasukan ‘underdog’ cukup meletakkan kami pasukan Johor dalam keadaan critical. Setiap perlawanan yang dihadapi adalah perlawanan getir bagi pasukan ini. Johor hanya mendaftar 13 orang pemain berbanding negeri lain yang mempunyai 16 orang pemain. Kami jurulatih perlu bijak dalam menyusun strategi bagi menghadapi pihak lawan yang mempunyai beberapa pemain yang sangat berbakat. Kebanyakan pasukan lain telah membuat persedian rapi dan awal. Bertemu dengan pasukan seperti WP Kuala Lumpur, Kedah dan Terengganu adalah antara perlawanan yang agak mencabar dan saya amat berpuas hati dengan persembahan dan semangat pemain. Saya amat menekan teamwork spirit dari awal penubuhan pasukan ini dan ternyata ianya berhasil!
AFM : Boleh coach kongsikan, bagaimana persediaan pasukan Johor? Dari segi latihan, strategi dan masa training?
CS : Pemain hanya dapat dikumpulkan pada hujung minggu kerana ada beberapa kekangan. Namun kami jurulatih telah memberikan komitmen penuh dalam memberikan latihan dan taktikal yg sewajarnya. Saya banyak berjumpa dengan beberapa jurulatih berpengalaman bagi meminta nasihat dan tunjuk ajar untuk dipraktikkan kepada para pemain. Kita melakukan beberapa trial n error dengan menyediakan beberapa kem latihan di beberapa tempat yang berlainan dan juga menyertai beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan yang bagus.
AFM : Apa perancangan coach selepas ini? Adakah coach merancang untuk bawa pasukan di LFK2019?
CS : Saya masih baru dalam bidang kejurulatihan dan semestinya saya mengharapkan lebih banyak peluang untuk menimba ilmu dapat diberikan. Jika diberi peluang dan kepercayaan, LFK adalah target saya yang seterusnya bagi tahun 2019. Insyaallah!
AFM : Dapat kita lihat, jarang ada coach wanita. Apakah yang beri semangat atau inspirasi buat coach untuk terus membimbing pasukan sampai ke tahap ini?
CS : Bagi saya, sudah sampai waktunya kita tidak melihat keupayaan dari segi jantina. Kolaborasi saya dan ketua jurulatih adalah agak baik dan menunjukkan bahawa kerjasama antara jurulatih wanita dan lelaki boleh diketengahkan. Ada beberapa kelebihan bila menjadi coach kepada pasukan wanita sendiri. Sebagai jurulatih, keserasian dan kesefahaman terhadap para pemain amat penting dan keberkesanan tersebut telah terbukti dengan pencapaian pasukan ini. Itu adalah kelebihan yang saya nampak dan membuatkan saya lebih bersemangat. Berkerjasama dengan ketua jurulatih yang amat berpengalaman sangat membantu saya dalam mengaplikasikannya kepada para pemain. Selain dari itu, saya selalu mengikuti perkembangan sukan diluar negara seperti Australia, Iran dan China. Mereka mempunyai beberapa jurulatih wanita yang bagus dan ini membuatkan saya rasa terpanggil untuk mencabar keupayaan saya sebagai jurulatih wanita.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.