
Permata Baru UiTM
On March 24, 2016 by Wak FaizalUniversiti Teknologi Mara antara universiti yang sering melahirkan pelajar yang berkualiti bukan sahaja dari segi akademik malah bagi sukan juga. Jika bicara mengenai sukan futsal mereka adalah antara satu pasukan yang disegani bagi sukan ini.
Pasukan futsal UiTM lelaki dan juga wanita pernah memenangi Liga Futsal IPT bagi beberapa musim serta mendominasi acara ini di sukan MASUM. Lebih terbukti apabila UiTM telah melahirkan banyak bakat baru yang kini sudah mencipta nama di Malaysia dan di peringkat antarabangsa antaranya bagi lelaki seperti Ali Mahat, Azrin Adnan, Syarizuwan Mansor, Akmal Yazadh Amri, Khairul Effendy, Fawzul Hadzir dan bagi wanita pula adalah seperti Farhana Abdullah, Hanis Azizan dan banyak lagi.
Baru-baru ini pasukan futsal wanita UiTM berjaya peroleh kejuaraan di kelayakan Futsal IPT 2016 setelah berjaya menewaskan pasukan UPSI di perlawanan akhir tempoh hari. Kemenangan ini lebih bermakna apabila mereka juga layak untuk bermain di Division (W) Liga Futsal IPT 2016 mengikut jejak pasukan lelaki yang telah layak secara automatik.
Pasukan futsal wanita UiTM memenangi perlawanan itu dengan jaringan 2-0 namun ia bukan satu perlawanan yang mudah bermain di hadapan penyokong lawan. Syahiratul Syafika meletakkan UiTM di hadapan pada awal permainan sebelum Jasmin Ariiza menambah lagi satu jaringan dan jaringan itu kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
Apa yang menarik perhatian adalah kehadiran pemain baru pasukan futsal wanita UiTM iaitu Jasmin Ariiza dimana beliau berjaya meraih anugerah pemain terbaik kejohanan tempoh hari.
Kehadiran pemain berusia 19 tahun ini telah berjaya membantu pasukan futsal wanita UiTM di pusingan kelayakan Liga Futsal IPT 2016.
Ikuti temubual wartawan Arena Futsal Malaysia bersama pemain cilik ini.
AFM : Anda telah berjaya menjadi pemain terbaik kejohanan dan berjaya membantu pasukan UiTM layak ke division musim ini. Boleh komen mengenai pencapaian ini.
JA : Menjadi pemain terbaik kejohanan ini merupakan pencapaian tertinggi buat diri saya kerana saya masih muda dan masih baru berkecimpung dalam sukan ini. Bagi kemenangan ini, kami bersyukur dan berpuas hati kerana target kami hanya untuk sampai di peringkat semi final untuk melayakkan pasukan ke Division (W) namu rezeki menyebelahi kami, kami berjaya sampai ke final dan menjadi juara kejohanan.
AFM : Sebagai pemain baru untuk pasukan UiTM bagaimana penerimaan rakan sepasukan dan jurulatih?
JA : Penerimaan yang baik daripada coach dan juga rakan sepasukan terhadap saya. Mereka banyak memberi tunjuk ajar dan sokongan kepada saya. Peluang yang mereka beri kepada saya ini, saya telah gunakan sebaik mungkin. Bukan senang untuk bermain di liga ini bagi pemain yang masih baru dan tiada pengalaman seperti saya. Terima kasih buat coach dan rakan-rakan sepasukan saya.
AFM : Ini adalah kejohanan pertama anda di peringat IPT, boleh anda komen mengenai saingan ketika pusingan kelayakan terutama ketika perlawanan akhir.
JA : Saingan yang kami terima boleh dikatakan sengit sepanjang kejohanan kerana semua ingin merebut 4 slot untuk pasukan wanita untuk bermain di Division (W). Ketika perlawanan akhir kami menerima tekanan apabila bermain di hadapan penyokong pihak lawan yang memenuhi venue perlawanan. Kadang-kadang kami hilang fokus tapi akhirnya kami dapat rentak permainan dan berjaya menjaringkan gol.
AFM : Apakah harapan untuk diri anda dan pasukan menjelang Liga Futsal IPT musim ini.
JA : Saya berharap saya dapat tingkatkan prestasi saya dalam sukan ini. Untuk pasukan saya berharap saya dapat membantu pasukan ini hingga berjaya menjadi Juara Liga IPT yang akan bermula tidak lama lagi.
Biodata
Nama: Noor Jasmin Ariiza bt Khairul Azhar
Umur: 19 tahun
Tarikh Lahir : 23 Nov 1997
Asal: Perak
Idola : Farahiyah Ridzuan
Sekolah : SMK Convent Ipoh
Universiti : UiTM
Jurusan : Sains Sukan dan Rekreasi
Karier : SUKMA Perak (2013)
LFK Perak (2014,2015)
Foto Kredit : Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT)
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.