Skuad negara terpaksa menelan kepahitan pada aksi kedua ini apabila Thailand membuktikan mereka adalah antara kuasa besar dalam arena futsal Asia. Tuan rumah tampil dengan aksi kemas yang seperti dijangka, anak buah Victor Hermans berjaya menjerat skuad negara dengan hantaran-hangaran menarik bagi memberikan ancaman terutamanya kepada penjaga gol, Azrul Hadee Mohd Taufiq.
Permulaan perlawanan menunjukkan permainan seimbang apabila kedua-dua pasukan berusaha bagi mendapatkan jaringan pendahuluan namun gagal menemui sentuhan jaringan. Dua percubaan menarik dari Akmarulnizam Mohd Idris dan Khairul Effendy Mohd Bahrin masih gagal untuk menghadirkan ceria buat negara.
Segalanya berubah pada minit ke-11 setelah Thailand memperoleh jaringan pertama hasil gerakan menarik dan disudahkan Piyapan Ratana menerusi rembatan rendah yang menewaskan Azrul Hadee di gawang skuad negara.
Piyapan Ratana terus menjadi igauan buat skuad negara apabila rembatannya yang ditepis Azrul Hadee singgah di kaki Jetsada Chudech untuk jaringan kedua dan Chaivit Jamgrajang menutup aksi babak pertama dengan 3 jaringan tanpa balas.
Babak kedua Thailand terus menambah 3 lagi jaringan sebelum Khairul Effendy Mohd Bahrin berjaya memperoleh jaringan saguhati buat skuad negara pada minit-minit terakhir perlawanan.
Aksi yang ditampilkan oleh anak buah Marcelo Serpa Coelha wajar dipuji walaupun masih gagal untuk menyaingi kehebatan pasukan tuan rumah. Aksi yang ditampilkan juga membuktikan keazaman para pemain dalam aksi tersebut namun Thailand jelas membuktikan mengapa negara “gajah putih” itu digelar kuasa besar Asia dalam futsal.
Masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki dalam usaha skuad negara merebut slot ke separuh akhir sekaligus melayakkan diri ke Kejohanan Futsal AFC 2016.
Ketua pasukan negara, Mohd Firdaus Razali menyifatkan kesilapan kecil serta kelalaian yang mengakibatkan kekalahan ini.
“Kesilapan kecil kita yang membenarkan Thailand menjaringkan gol dan kita juga tidak bermain pada tahap permainan yang sebenar. Separuh masa kedua menampakkan perubahan aksi namun masih belum mampu menghasilkan jaringan”, ujar ketua pasukan negara tersebut.
Artikel Oleh : Wak Meor