Sabah MPFL 2024 kejutkan Selangor

2 Ledakan Felipe Bantu Sabah Kejutkan Semifinalis Musim Lalu

Perlawanan terakhir di minggu pertama Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 menyajikan kejutan tatkala pasukan yang boleh dianggap ‘darkhorse’ musim ini, Sabah berhasil mengatasi Selangor dengan keputusan 3-2 di KSN Panasonic, Shah Alam.

Babak kedua lebih memberikan kepuasan atas faktor gol yang lebih banyak dihasilkan apabila babak pertama menyaksikan hanya satu gol terhasil. Sabah terlebih dahulu berjaya mendahului perlawanan menerusi sentuhan mudah Felipe Leita di minit yang ke-4 perlawanan.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan mengancaman pintu gol lawan, namun kedua-dua Goleiro tampil tangkas menafikannya.

Minit ke-4, gerakan antara dua pemain, Wan Abdul Raziq dan Felipe akhirnya berjaya disudahkan dengan satu sentuhan mudah di depan gawang. Syawal Sabaruddin yang tampak cemerlang sebelum itu akhirnya tertewas dek kerana kelonggaran di bahagian benteng.

Dua minit berselang, Khairul Effendy gagal memanfaatkan peluang terbaik buat tuan rumah untuk menyamakan kedudukan. Disiplin yang baik ketika bertahan juga membantu pelawat untuk menambah tekanan sedia ada buat semifinalis MPFL musim lalu itu, di babak pertama.

Malah, beberapa kali Goleiro Sabah, Faezwan Ashwandie mempamerkan ketangkasannya dalam menafikan rembatan-rembatas deras.

Babak kedua bermula dengan jaringan penyamaan Selangor yang dicipta Syed Aizad Daniel dengan satu rembatan leret deras pada minit ke-21. Selepas jaringan itu, percubaan Syahir Iqbal Khan pula hadir menggegar palang gawang pelawat menerusi rembatan derasnya.

Bunga-bunga kebangkitan mula dipamerkan tuan rumah, namun ia tidak bertahan lama apabila Felipe sekali lagi merosakkan suasana.

Hantaran Joao Gabriel berjaya disudahkannya dengan rembatan deras menewaskan Goleiro Selangor membolehkan Sabah di depan.

Faezwan memberi segalanya untuk pertembungan ini dan meneruskan prestasi baiknya di babak kedua membuat Selangor kian buntu.

Minit ke-34, Faris Johan tampil menerusi gol menarik menewaskan Goleiro Sabah itu dengan rembatan deras dari sudut kanan gawang.

Tak lama selepas itu, Ahmad Azim muncul wira Sabah yang bermula daripada sepakan penjuru di sebelah kiri gawang yang dikawal Syawal.

Kemenangan dan tiga mata yang diraih Sabah membantu mereka untuk berada di tangga ke-3 Divisyen 1 dalam minggu pertama, di belakang JDT dan Terengganu dengan hanya dibezakan oleh perbezaan jaringan besar dimiliki oleh kedua-dua pasukan tersebut.

Start a Conversation