SAC Pahang Rangers MPFL 2024

Kejutan Jelmaan Shah Alam City Hampir Buat Pahang Rangers Gigit Jari

Tiga aksi berlangsung pada hari pertama Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 dan Shah Alam City pasti menjadi sebutan.

Telah berlangsung aksi antara Shah Alam City menentang Pahang Rangers, Gombak TOT bertemu JDT dan Terengganu melayan KL City.

Aksi minggu pertama menyaksikan tirai disingkap oleh pertembungan menarik antara Shah Alam City dan juara bertahan, Pahang Rangers. Tak siapa menduga, juara berganda musim lalu itu terpaksa bekerja keras untuk bangkit dan akhirnya membawa pulang satu mata.

Nampaknya apa yang dirancang oleh Shah Alam City untuk musim ini memberikan sinar positif tatkala berjaya membuatkan Pahang Rangers bergelut. Mereka perlu duduk dan melihat semula bagaimana pasukan yang mereka ‘buli’ musim lalu, hampir memberi kejutan.

Semua ternanti-nantikan impak dua pemain import baharu kedua-dua pasukan, namun pemain tempatan tampaknya mencuri tumpuan.

Harith Na’im berjaya menjelmakan hatrik malah menjadi punca kebangkitan buat Pahang Rangers bangkit untuk mengikat tuan rumah. Perlawanan berakhir dengan keputusan 6-6 dalam aksi yang berlangsung di KSN Panasonic, Shah Alam, pada perlawanan sebelah petang.

Pelawat dilihat kerap ketinggalan waima mendahului aksi dengan dua gol apabila membuka gol seawal minit ke-3 menerusi Felipe de Souza dan Amirul Khairuddin (4′). Shah Alam City bangkit dengan empat gol menerusi Zainal Abidin (2 gol), Razin Rahim dan Isayas Figueredo.

Pahang Rangers kembali ke dalam perlawanan dengan dua gol menerusi ledakan Harith sebelum Farhan Khairul Anuar meledak dua gol, memberi kelebihan semula buat tuan rumah. Murilo Saad dan Harith mencipta jaringan di penghujung aksi untuk mengikat lawan.

Untuk perlawanan kedua, JDT mempamerkan watak juara dengan membenam cabaran Gombak TOT dengan keputusan besar, 6-1.

Pemain tempatan sekali lagi mencipta fenomena tersendiri di KSN Panasonic waima kedua-dua pasukan menampilkan pemain import, selain dua layangan kad merah kepada pemain Gombak TOT iaitu Faisal Saharudin dan goleiro, Syafiq Hamzah di penghujung perlawanan.

Tumpuan tentunya kepada pencipta hatrik buat pelawat, Saad Sani serta gol debut bersama JDT, Ridzwan Bakri yang dicipta di hujung aksi. Tiga gol tercipta empat minit menuju ke wisel penamat dengan Saad, Ridzwan dan Azri Rahman berhasil menambah perbezaan jaringan.

Di Kuala Terengganu, sekali lagi angka enam menjadi saksi aksi hari pertama Divisyen 1 apabila Terengganu menang 6-1 ke atas KL City.

Turun dengan 100 peratus pemain tempatan bukanlah alasan untuk tuan rumah tunduk kepada KL City, malah mereka lebih dominan dengan kemenangan selesa. Lima pemain mencipta nama selaku penjaring untuk mereka meraih tiga mata berharga di halaman sendiri.

Penjaring gol buat Terengganu adalah Hafizi Ismail (2 gol), Syed Shahrul Niezam, Zuhairi Mohamad Alif Izzat Rosdi dan Akram Mukhriz.

Angka enam menjadi tumpuan dalam ketiga-tiga perlawanan dan prestasi yang dipamerkan Shah Alam City yang paling berimpak tinggi.

Esok akan berlangsung satu lagi aksi yang tidak kurang menariknya apabila Selangor akan melayan kunjungan Sabah di KSN Panasonic.

Start a Conversation