Tewas Dengan Selangor MAC. Kemampuan Skuad Futsal Kebangsaan Menjadi Kerisauan Peminat

11 hari lagi menjelang aksi pembukaan futsal di Sukan SEA 2022 dan skuad futsal lelaki kebangsaan baru sahaja memulakan kem latihan pusat mereka secara rasmi pada Jumaat (29 April) lepas. Selepas sehari berlatih di Sportizza Subang, mereka terus menjalani satu aksi persahabatan menentang juara Malaysia Premier Futsal League 2022, Selangor MAC.

Walaupun turun tanpa 8 pemain dan 2 jurulatih yang bersama pasukan kebangsaan, Selangor MAC tidak menghadapi masalah apabila tampil dengan aksi yang lebih kemas di perlawanan ini. Ternyata persediaan mereka yang berterusan memberikan kesukaran buat pasukan kebangsaan dan skuad kendalian Chiew Chun Yong terpaksa akur tewas 3-6.

Malaysia terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Abu Haniffa sebelum Selangor MAC bangkit dengan 4 gol berturut-turut menerusi dua jaringan Fariq Muhd, 1 daripada Qaiser Heshaam dan Danial Dain. Sebelum tamat separuh masa pertama Malaysia berjaya mendapatkan 1 gol menerusi percubaan Azri Rahman.

Di separuh masa kedua Malaysia menampilkan permainan yang lebih baik dan mereka berjaya merapatkan jurang gol menerusi satu gol serangan pantas oleh Ridwan Bakri. Namun Selangor MAC memastikan kemenangan mutlak menjadi milik mereka dengan dua jaringan kemenangan daripada Ceara dan juga Ayie.

Melihat kepada keputusan yang tidak berpihak kepada Malaysia, rata-rata penyokong risau dengan prestasi mereka ini menjelang Sukan SEA 2021 yang akan bermula tidak lama lagi. Antara komen-komen para penyokong yang menonton perlawanan ini secara langsung di FB Selangor MAC:

“Harap skuad negara dapat improvekan gameplay. banyak sangat main individual. cuba contohi cara permainan selangor mac. defensive pun berdisiplin.”

“Nampak sangat taktikal coach selangor mac lagi bagus dari malaysia.”

“Baik anta Team Selangor je Main wakil malaysia”

“Baik hntr selangor mac je mcm ni dari hntr team malaysia kene tibai je”

Jika melihat kepada sudut positif mungkin perlawanan ini hanya untuk menguji para pemain dengan beberapa formasi yang diinginkan. Ini satu-satunya perlawanan persahabatan buat Malaysia sebelum mereka berangkat ke Vietnam pada 3 Mei depan. Mereka akan ke Ho Chi Minh terlebih dahulu untuk menghadapi 2 perlawanan persahabatan di sana sebelum berangkat ke Hanoi untuk Sukan SEA 2022.

Masih tidak pasti pasukan mana akan menjadi ujian Malaysia nanti, namun ada beberapa pasukan berada di Ho Chi Minh yang beraksi di Liga Futsal Vietnam antaranya Thai Son Nam, Saigon dan Sahoka FC.

Foto Kredit : FAM