JDT Ganti Neto Dengan Pemain Bertaraf Piala Dunia?
On June 21, 2024 by Al-Zaim ArzamanSkuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) sah mengumumkan yang Helio Neto telah meninggalkan pasukan di jendela pendaftaran pemain.
Perkara tersebut diumumkan di laman sosial pasukan semalam dan tentunya telah menarik perhatian para pengikut futsal tanah air.
Menerusi satu surat edaran yang telah dibuat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebelum ini, jendela perpindahan atau pendaftaran pemain untuk saingan Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 sudah pun dibuka sejak 8 Jun yang lalu.
Mungkin ramai yang merasa pelik dengan tindakan JDT melepaskan Neto yang mencetak 14 gol dalam MPFL dan Piala Futsal Malaysia (MFC) musim lalu. Barangkali dengan hanya satu gol selepas tujuh perlawanan, kudratnya tidak lagi diperlukan untuk baki saingan.
Ini kerana, bakal penggantinya merupakan pemain skuad kebangsaan Brazil yang pernah beraksi di Piala Dunia Futsal 2021 dan Copa Amerika Futsal 2022. Waima belum ada pengumuman rasmi tentangnya, tetapi ‘aktiviti’ pemain dari Brazil tersebut mencuri perhatian.
Beliau didapati sudah mula mengikuti laman Instagram skuad bola sepak dan futsal JDT. Ini menjadikan khabar angin ini semakin kencang.
Beliau adalah Bruno Taffy, yang bermain bersama naib juara Primera Division musim lalu – liga utama Sepanyol, ElPozo Murcia.
Sebagai pemain skuad kebangsaan Brazil – pasukan ranking nombor satu dunia, Bruno sememangnya membawa kualiti maha besar buat JDT. Malah pemain berusia 34 tahun itu pernah menjulang beberapa kejuaraan di Sepanyol selain dua trofi UEFA Champions League.
Melihat statistiknya di laman Playmakerstats, beliau konsisten meledak sejumlah gol saban musim bersama beberapa pasukan utama di negara yang disinggahinya, antaranya ketika menyarung jersi Palma Futsal dan Movistar Inter di Sepanyol serta MFK Tyumen di Rusia.
Malah, di laman tersebut turut tercatat yang kelab baharunya ketika ini sebagai JDT. Adakah ini sudah cukup untuk sahkan kehadirannya?
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.