Mereka dibelasah 0-13 oleh Selangor FC, tewas kepada Kuala Lumpur City 0-5 , kemudian menerima kekalahan besar 2-19 di tangan Pahang Rangers sebelum tunduk 4-7 kepada PFA Odin.
Ya, keputusan itu memang berat untuk diterima.
Lebih-lebih lagi apabila media sosial mula dipenuhi komen-komen sinis dan herdikan seolah-olah pasukan ini langsung tidak layak berada di MPFL.
Tetapi persoalannya, hanya kerana mereka dibelasah, adakah itu terus menjadikan mereka tidak layak bersaing?
Ramai terlupa siapa sebenarnya WIPERS. Ini bukan pasukan yang dibina untuk terus memburu kejuaraan MPFL. Mereka bukan pasukan yang dibarisi pemain import bertaraf dunia. Mereka juga bukan pasukan yang sudah bersama selama bertahun-tahun seperti KL City atau Selangor.

WIPERS sebenarnya adalah projek pembangunan. Pasukan ini menghimpunkan pemain-pemain muda berusia sekitar 17 hingga 20 tahun di bawah program pembangunan MSWP sebagai persediaan menghadapi SUKMA 2026. Projek ini sudah bermula sejak 2025 lagi dengan fokus utama membentuk masa depan futsal, bukan semata-mata keputusan segera.
Apabila MPFL 2026 berubah kepada format satu liga dan beberapa pasukan menarik diri, WIPERS antara yang tampil mengambil risiko untuk memastikan liga terus berjalan dengan lapan pasukan.
Dan itu bukan keputusan yang mudah.

Mereka tahu tahap MPFL sangat tinggi. Mereka tahu akan berdepan pasukan yang memiliki import Brazil, pemain kebangsaan dan skuad yang sudah matang bertahun-tahun. Tetapi mereka tetap berani turun bersaing.
Itulah yang ramai tidak nampak.
Kekalahan besar memang menyakitkan. Tetapi bagi pemain muda, pengalaman seperti inilah yang membentuk mentaliti sebenar seorang atlet profesional. Mereka sedang belajar tentang tempo permainan, tekanan sebenar liga, disiplin taktikal dan bagaimana rasanya dihukum setiap kali melakukan kesilapan kecil.
Kalau dilihat semula, pasukan-pasukan besar hari ini juga pernah melalui fasa pembangunan mereka sendiri.
Tiada siapa lahir terus menjadi gergasi.
Apa yang WIPERS perlukan sekarang bukan ejekan, tetapi masa dan ruang untuk berkembang. Kerana kadangkala keberanian untuk terus bermain walaupun tahu akan kalah lebih besar nilainya daripada sekadar menang.
Dan siapa tahu, beberapa tahun nanti pemain-pemain muda yang sedang โdibelasahโ hari ini mungkin akan menjadi wajah utama futsal negara.
