Perak Mencatat Kemenangan Pertama MPFL (Rumusan Hari 2 Sirkit 4)

Pasukan Perak yang hadir dengan barisan pemain baru berjaya meraih kemenangan pertama mereka selepas bangkit untuk menewaskan Kedah pada perlawanan terakhir hari ke-2 sirkit 4.

Perak menunjukkan aksi juang yang tinggi walaupun satu ketika ketinggalan 2-3 dan perlawanan berbaki 4 minit sahaja untuk tamat tapi mereka berjaya mencari 2 gol pada minit ke-39 dan minit ke-40 untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 4-3. Kemenangan ini membawa mereka ke kedudukan ke-12 liga dengan 4 mata.

Pada sebelah petang ada dua perlawanan menyaksikan pasukan Pulau Pinang yang seri pada hari pertama bangkit menemui rentak kemenangan mereka dan kali ini mereka menghukum pasukan ATM dengan keputusan 7-5. Tambahan 3 mata ini membawa mereka ke kedudukan ke-2 liga.

Satu lagi perlawanan turut memberikan satu aksi yang menarik dimana TRW Kelantan berjaya membuat kejutan dengan menewaskan Selangor TOT United dengan keputusan 5-3. Kehadiran pemain import dari Indonesia, Anton Cahyo ternyata memberikan impak yang baik dalam pasukan dan dia turut menjaringkan satu gol untuk membantu pasukan Kelantan bangkit menang perlawanan ini.

Pada sebelah pagi, Shah Alam City berdepan dengan pasukan Terengganu dan perlawanan ini berakhir dengan keputusan seri 1-1. Terengganu terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-27 menerusi Ahmad Shafiz sebelum Al-Haziq menjadi penyelamat Shah Alam City dengan jaringan penyamaan pada minit ke-38.