Tuah Eizlan Sirhan Aiman

Pahang Rangers Terbangkan 2 Tonggak Pulau Pinang Ke Kuantan

Pahang Rangers berterusan mengumumkan pemain-pemain baharu dan kali ini, dua pemain dari Pulau Pinang telah diumumkan sebagai ahli keluarga baharu pasukan untuk saingan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) musim depan iaitu Tuah Eizlan dan Sirhan Aiman.

Mereka merupakan tonggak penting Pulau Pinang musim lalu, di mana telah mara ke suku akhir MPFL dan Piala Futsal Malaysia (MFC).

Barangkali dengan masa depan Pulau Pinang yang masih samar untuk saingan musim depan menyebabkan mereka memilih haluan baru.

Menurut pengumuman di laman sosial Pahang Rangers, Tuah dikatakan antara pemain muda meningkat naik. “Selain membantu Pulau Pinang mencatat pencapaian terbaik dalam penyertaan di MPFL, Tuah turut pernah mewakili Melaka, Selangor MAC dan Sabah,” titip mereka.

Berusia 22 tahun, Tuah yang bermain sebagai Pivot itu turut dikatakan memiliki masa depan yang cerah dalam kancah futsal tanah air.

Untuk Sirhan pula, pemain berusia 25 tahun itu sememangnya dilahirkan di Kuantan, namun tidak pernah mewakili negeri kelahirannya.

Beliau pernah berkelana ke Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan yang terakhir sekali bersama Pulau Pinang. Merupakan seorang Ala berkaki kidal, ini adalah sandaran kedua buat pengendali, Gerard Casas selepas membawa masuk Iqhmal Najmie dari TOT United.

Pastinya ini adalah kebanggaannya buatnya apabila pulang menyarung jersi Pahang Rangers yang meraih kejuaraan berganda pada musim lalu. Untuk rekod, bersama Pulau Pinang, beliau berhasil mencipta lima gol dalam 12 penampilan di MPFL dan dua penampilan di MFC.

Mungkin kenangan terbaiknya di sana adalah ketika meledak gol dalam kedua-dua aksi suku akhir MPFL menentang TOT United. Namun, lawan nyata terlalu ampuh buat Pulau Pinang apabila mereka telah tersingkir selepas tewas 2-4 secara agregat kepada lawan tersebut.

Selain mereka berdua yang diterbangkan dari Pulau Mutiara, seorang pemain dari KL City turut diperkenalkan sebagai pemain baharu iaitu bintang muda meningkat naik, Amirul Khairuddin. Selepas tiga musim di Kota Metropolitan, Amirul memilih untuk berhijrah ke Kuantan.

Setakat ini, Pahang Rangers secara rasminya telah mengumumkan penyertaan empat muka baharu selepas melepaskan enam pemain antaranya pemain skuad kebangsaan, Farhan Khairul Anuar serta dua import sensasi, Sergio Jamur dan Amin Nasrollah Zadeh.

Start a Conversation