Negeri Sembilan Terus Mengejar Kejuaraan Liga (Rumusan Hari 2 Sirkit 5)

Pasukan Negeri Sembilan turun di hari kedua sirkit 5 dan mereka berjaya mencatat kemenangan kelima mereka dalam saingan MPFL. Kali ini mereka berjaya menewaskan PDRM dengan keputusan 2-0 menerusi jaringan Sufri Shamil dan juga Aiman Fikry (penjaga gol) yang turut mencatat nama sebagai penjaring.

Dengan kemenangan ini memberikan mereka terus menjadi pesaing utama untuk merebut kejuaraan liga. Negeri Sembilan berada di kedudukan ke-3 liga dengan 16 mata, 2 mata di belakang pendahulu Selangor MAC yang mengumpul 18 mata sementara Pahang Rangers di kedudukan kedua dengan 17 mata.

Pahang Rangers turun di perlawanan kedua mereka di sirkit 5 tidak mengalami masalah untuk menewaskan Kedah dengan jaringan 3-1. Pahang Rangers lebih menguasai perlawanan ini dan mereka membuka jaringan seawal minit ke-5 daripada Mahadir Harahap.

Kedah cuba bangkit dan mereka berjaya mencuri 1 gol daripada jaringan Fakhrul Islam sebelum 2 pemain kebangsaan, Ridzwan Bakri dan Abu Haniffa memastikan kemenangan menjadi milik Pahang Rangers dengan jaringan mereka.

Selangor MAC yang mencatat kemenangan sebelum ini meneruskan rentak terbaik mereka dan kali ini berjaya menewaskan Terengganu 4-2. Dua pemain Selangor, Khairul Effendy Bahrin dan Matheus Silva sekali lagi berjaya mencipta nama sebagai penjaring dengan 1 gol masing-masing manakala 2 lagi gol dijaringkan Firdaus Ambiah dan Faris Johan.

TRW Kelantan berjaya membawa pulang 3 mata di perlawanan kedua mereka di sirkit ini menerusi kemenangan ke atas Pulau Pinang. Perubahan taktikal dan barisan pair pemain yang dilakukan coach Qusmaini berhasil kali ini dengan kemenangan 5-2. Sekaligus sirkit 5 ini nampak berjaya untuk Kelantan yang pulang dengan 4 mata keseluruhan dan mereka kini berada di kedudukan ke-7 berkongsi 10 mata dengan KPT-PST Mustang, Terengganu dan KL City.