Kejohanan AFC Futsal Club 2022 Dibatalkan. Tunggu Selangor MAC Tahun Depan?

Menerusi perkongsian Konfedarasi Bola Sepak Asian (AFC), satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC telah berlangsung hari ini dan salah satu keputusan yang telah mendapat persetujuan bersama di mana Kejohanan AFC Futsal Club 2022 dibatalkan.

Kejohanan ini yang sepatutnya berlangsung pada bulan Ogos depan dibatalkan berikutan United Arab Emirates menarik diri daripada menjadi tuan rumah untuk kejohanan edisi tahun ini. Kemungkinan besar susah untuk mencari tuan rumah yang baru dalam masa terdekat dengan kalendar futsal/bola sepak yang padat membuatkan keputusan membatalkan edisi tahun ini adalah yang terbaik.

Satu kejohanan yang menarik dan menjadi tumpuan peminat futsal kerana kejohanan ini membariskan pasukan-pasukan juara di liga masing-masing. Antara pasukan yang sudah akan beraksi di kejohanan ini adalah pasukan, Black Steel Manokwari (Indonesia), Free Fire Bluewave (Thailand), Thai Son Nam (Vietnam), Giti Pasand (Iran), Hurriya Saida (Lebanon), Naft Al-Wasat (Iraq), Kuwait SC (Kuwait), FS Soro (Tajikistan), Al Dhafra (UAE), Nagoya Ocean (Jepun) dan FS Seoul (Korea Selatan).

Kali terakhir kejohanan ini diadakan pada edisi 2019 di Thailand. Juara Liga Futsal Jepun, Nagoya Ocean menjulang kejuaraan edisi itu dengan menewaskan wakil Iran, Mes Sungun dengan keputusan 2-0. Sementara wakil Vietnam, Thai Son Nam meraih tempat ketiga selepas mencatat kemenangan 6-4 dengan wakil Uzbekistan, AGMK.

Dengan pembatalan ini sekaligus kejohanan ini akan kembali berlangsung pada tahun 2023 dan adakah juara Malaysia Premier Futsal League 2022, Selangor MAC akan membuat penampilan? Kalau betul mereka akan menjadi wakil pertama Malaysia yang akan beraksi di kejohanan ini.

Foto Kredit : Nagoya Ocean & Selangor MAC