Ini Sebab Skuad Wanita Dapat ‘Laluan Mudah’ Dalam Sukan SEA 2021

Skuad futsal lelaki dan wanita negara seperti diketahui sudah pun berada di Phu Ly, Vietnam untuk menghadapi saingan Sukan SEA 2021 yang bermula 11 Mei nanti dalam usaha mereka memburu pingat pada temasya dwitahunan tersebut.

Ketika tumpuan dan harapan pingat sudah pastinya akan terarah kepada skuad lelaki tetapi pasukan wanita kendalian Jamhuri Zainuddin juga sebenarnya lebih memiliki peluang cerah untuk sekurang-kurangnya untuk merangkul pingat gangsa.

Hakikat tersebut perlu diakui kerana acara wanita bagi edisi kali ini hanya menampilkan empat pasukan dimana menyaksikan penyertaan juara empat kali, Thailand bersama-sama tuan rumah, Vietnam dan Myanmar.

Sementara itu, Indonesia pula terpaksa menarik diri selepas Kementerian Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia (Kemenpora RI) tidak ‘merestui’ pemergian ke Hanoi kerana memberikan laluan buat pasukan lelaki mereka.

Sekiranya dilihat kepada prestasi semasa, Indonesia sebenarnya memiliki keupayaan hebat untuk menjadi pencabar kejuaraan selepas berjaya mengikat Thailand 1-1 dalam saingan NSDF Women’s Championship 2022 di Bangkok tempoh hari.

Ketika Thailand jelas berada di kelas tersendiri sebagai pilihan utama bergelar pemenang pingat emas, skuad negara perlu menggunakan peluang terhidang tanpa kehadiran Indonesia untuk memberikan saingan hebat buat Vietnam dan wajib mencatatkan kemenangan ke atas Myanmar.

Berdasarkan rekod pertemuan, skuad negara mencatatkan dua keputusan seri (Sukan SEA 2013 dan 2017) dan satu kekalahan ketika Kejuaraan Futsal Wanita AFC 2018 bertemu Vietnam manakala meraih dua kemenangan ke atas Myanmar di Sukan SEA 2013 dan 2017.

Meskipun Myanmar mendapat pendedahan terbaik apabila menyertai NSDF Women’s Championship, namun skuad wanita negara sudah pasti memiliki ramuan terbaik untuk meraih kemenangan sekali gus mencerahkan peluang bagi meraih pingat.

Segalanya tiada yang mustahil untuk direalisasikan, ayuh Malaysia!

Sumber Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)