
2 Pasukan Sarung Jersi Jenama Tempatan, Bagaimana Yang Lain?
On February 14, 2024 by Al-Zaim ArzamanHujung minggu ini, tirai Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 bakal disingkap dan tentunya ia amat dinanti-nanti semua.
Semua pasukan sepatutnya sudah bersedia menjelang sepak mula pada 17 Februari dengan barisan pemain dan jersi yang bakal disarung.
Menarik untuk dilihat jenama jersi yang bakal disarung setiap pasukan yang bersaing di Divisyen 1 musim ini. Ada jenama tempatan tak?
Juara berganda musim lalu, Pahang Rangers tampak kekal dengan pilihan jenama Jepun iaitu Desporte selepas kali pertama menggunakan jenama tersebut pada musim lalu. Mungkin kualiti yang ditawarkan menyebabkan kerjasama tersebut terus terjalin pada musim ini.
Setakat ini, jersi ‘away’ telah diperkenalkan kepada umum apabila mereka bakal beraksi di tempat lawan dahulu, menentang Shah Alam City di Stadium Tertutup Panasonic, sebelum menanti kunjungan Selangor pada 25 Februari di laman sendiri, Stadium Tertutup SUKPA.
Mungkinkah jersi ‘home’ mereka akan diperkenalkan sebelum aksi menentang Selangor?
Untuk lawan mereka, Shah Alam City, jenama dari Indonesia menjadi pilihan iaitu Ortus 8 yang turut menaja sebuah lagi pasukan, KL City.
Menarik mengenai jenama ini, mereka baru sahaja melantik pemain tengah skuad kebangsaan, Sergio Aguero sebagai duta rasmi mereka.
Pasukan yang secara tiba-tiba menjadi tumpuan pada musim ini, Sabah memilih menggunakan jenama dari Thailand, Bangkrirk Design. Barangkali pengaruh yang dibawa oleh pengendali baharu mereka, Patt Sriwijit, jenama tersebut telah terpikat menjalin kerjasama.
Dua pasukan, JDT dan Selangor bakal menyarung jenama jersi yang sama dengan pasukan bola sepak mereka, menjadikan JDT mendapat tajaan daripada Nike, sementara Selangor kekal setia bersama Joma. Untuk JDT, reka bentuk adalah sama, tetapi tidak untuk Selangor.
Salah satu pasukan yang dilihat meletakkan kepercayaan kepada jenama tempatan, Gombak TOT bakal menyarung jersi jenama D’mensi Legacy. Namun, setakat ini, pasukan tersebut belum mengumumkan secara rasmi reka bentuk jersi yang bakal digunakan mereka nanti.
Terengganu menjadi pasukan kedua yang memilih jenama tempatan iaitu Komii, menjadikan kerjasama yang sudah terjalin diteruskan.
Majoriti pasukan belum memperkenalkan sepenuhnya reka bentuk jersi yang bakal digunakan dan menjelang sepak mula pada Sabtu ini, mungkin kita akan dapat melihatnya satu demi satu, jenama dan reka bentuk jersi yang disarung oleh pasukan di Divisyen 1 nanti.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.