
Iqhmal Najmie Masuk, 2 Nadi Penting Pahang Rangers Undur Diri
On December 16, 2023 by Al-Zaim ArzamanJuara berganda musim 2023, Pahang Rangers akhirnya sah melepaskan dua nadi penting musim lalu iaitu pemain import, Sergio Jamur dan Amin Nasrollah Zadeh. Mereka dilihat turut mengumumkan kemasukkan Ala berkaki kidal, Iqhmal Najmie Ismail dari Selangor TOT.
Sebelum ini memang sudah dimaklumkan, mereka bakal melepaskan dua import tersebut, namun belum ada berita rasmi mengenainya.
Dengan pengumuman yang telah dibuat pada hari ini, kita bakal menyaksikan dua wajah baharu untuk kouta pemain import mereka nanti.
Tentunya kehilangan Jamur dan Amin memberi impak negatif buat mereka disebabkan kedua-duanya memainkan peranan penting dalam memacu Pahang Rangers meraih kejuaraan berganda. Tetapi, patah tumbuh, hilang kan berganti. Pasti pengurusan pasukan dan ketua jurulatih, Gerard Casas sudah memiliki perancangan terbaik sebagai persediaan bagi mempertahankan kejuaraan yang telah diraih.
Amin dilihat sebagai jentera kreatif pasukan – maestro, dalam menggerakkan pasukan. Malah, beliau memiliki karakter pemimpin di dalam dan luar gelanggang. Meledak 15 gol dengan 33 ‘assist’ adalah rekod yang dilakarnya. Malah, 14 gol dicetaknya di laman sendiri, Sukpa.


Jamur pula seperti ‘penembak tepat’ yang direkrut mereka pada pertengahan musim. Dalam hanya 14 penampilan yang melibatkannya, beliau cemerlang dengan meledak 13 jaringan gol. Satu-satunya pasukan yang telah berjaya mengekangnya adalah Pulau Pinang.
Difahamkan, pemergian Jamur adalah atas permintaannya sendiri dan pengurusan pasukan memahami haluan baharu yang diinginkannya.
Kehilangan dua nadi penting ini adalah selepas mereka mengumumkan pemergian seorang lagi tonggak pasukan, Farhan Khairul Anuar.
Farhan tampil sebanyak 22 kali dan hanya terlepas satu perlawanan akibat penggantungan, malah melakar 17 gol dalam lima tahun.
Barangkali mahu meredakan keresahan penyokong, Pahang Rangers dengan pantas mengumumkan penyertaan Ala baru, Iqhmal Najmie.
Pemain berkaki kidal ini memiliki ‘tembakan-tembakan’ jarak jauh yang padu dan akan menjadi taruhan baru untuk saingan musim depan. Berusia 23 tahun, ia tentunya pelaburan terbaik Casas untuk memacu pasukan ke era baharu dengan penyertaan tonggak-tonggak muda.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.