SMK SERI MANJUNG UNGGULI KEJOHANAN FUTSAL MSSD MANJUNG BAWAH 18 TAHUN 2025

MANJUNG, 13 Mei 2025 – SMK Seri Manjung dinobatkan sebagai juara Kejohanan Futsal Majlis Sukan-Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Manjung Bawah 18 Tahun 2025 selepas melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas SMK Ambrose dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Manjung Indoor Sports Arena (MISA) petang semalam.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 Mei itu berjaya menghimpunkan 16 buah sekolah di daerah Manjung dalam usaha mencungkil bakat muda serta memperkukuh pembangunan futsal di peringkat akar umbi.

SMK Seri Manjung tampil dominan sepanjang kejohanan dengan mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan, sekali gus memastikan kejuaraan menjadi milik sekolah tersebut.Dalam aksi final yang mendapat sambutan hangat para penyokong, SMK Seri Manjung mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan awal Muhammad Rozzan Danial Zainal.

Skuad kendalian Ahmad Nazarul Zam itu menampilkan aksi lebih cemerlang pada babak kedua apabila menambah tiga lagi jaringan menerusi Wan Danial Iskandar Wan Mohd Noorfaizan, Muhammad Fitri Zulhadzli dan Muhammad Iman Solihin Saiful Asri, sekaligus mematikan sisa perjuangan SMK Ambrose.

Dengan kemenangan tersebut, para pemain SMK Seri Manjung membawa pulang pingat serta hadiah wang tunai bernilai RM1,000, manakala SMK Ambrose menerima pingat dan hadiah wang tunai RM500. Sementara itu, SABK Maahad Islahiah Addiniah dan SMK Raja Shahriman yang terkandas di separuh akhir menerima pingat serta hadiah wang tunai RM250 setiap satu.

Selain kejayaan berpasukan, SMK Seri Manjung turut mendominasi dua anugerah individu:

  • Pemain Terbaik Kejohanan: Muhammad Aidilfaris Mohd Khozali
  • Penjaga Gol Terbaik Kejohanan: Mohammad Afiq Kamal

Manakala Ahmadinejad Ahmad Naazeer dari SMK Raja Shahriman pula dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak Kejohanan dengan rekod 13 gol. Ketiga-tiga pemain tersebut menerima baucar bernilai RM200, tajaan Extravaganza Futsal Shop (EFS).

Turut hadir memeriahkan perlawanan akhir ialah:

  • YB Wong May Ing, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis
  • Tuan Haji Yahaya Mat Nor, Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak (DUN Pasir Panjang)
  • Tuan Hj. Rafiq Mohd, Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak (DUN Pangkor)
  • Encik Mior Darul Ikram bin Kamarulzaman, Penolong Pegawai PPD Manjung (Sektor Pembangunan Murid)

Julung kali dianjurkan menggunakan sepenuhnya peraturan futsal rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), kejohanan ini mendapat sokongan penuh daripada Millennials Malaysia, Al Kauthar Eduqids, EFS, Lumut Naval Shipyard (LUNAS) dan Binazrin Group selaku penaja utama.

Penaja lain yang turut menyokong ialah Sportivo, Bintang Manjung Engineering Sdn Bhd (SILO), Tranz ASM, NKF Future, Muzzzyyy Shop, dan Zeeper.

Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat dalam kalangan pelajar, malah turut menjadi pemangkin kepada pembangunan futsal akar umbi di daerah Manjung. Dengan sokongan berterusan daripada pihak sekolah, komuniti dan sektor swasta, futsal diyakini mampu terus berkembang sebagai sukan teras yang berpotensi melahirkan bakat muda bertaraf tinggi dari peringkat sekolah hingga ke pentas negeri dan kebangsaan.