Pulau Pinang Futsal hadir ke saingan MPFL Divisyen 2 musim 2025 dengan semangat baharu meskipun berdepan sedikit kekangan awal dalam persiapan. Skuad hanya memulakan sesi latihan rasmi seminggu sebelum liga bermula akibat beberapa faktor dalaman. Namun begitu, pasukan tetap optimis dalam mengejar sasaran untuk menamatkan musim ini dalam kelompok empat terbaik liga.
Musim ini menyaksikan perubahan besar dalam skuad apabila hanya sebahagian kecil pemain musim lalu dikekalkan, manakala sekitar 60 peratus pemain merupakan muka baharu. Kebanyakan daripada mereka adalah bekas pemain SUKMA yang kini tampil lebih matang dan bersedia untuk memikul tanggungjawab di pentas profesional. Antara pemain yang dijangka bakal menjadi watak utama ialah Faris Humaidi, Uraj Naidu dan Shamil, yang akan menjadi tulang belakang pasukan disamping dibantu pemain senior berpengalaman.
Bagi memperkuatkan lagi pasukan, Pulau Pinang juga akan menurunkan seorang pemain import dari Iran yang akan beraksi di posisi Ala. Kehadirannya diharap mampu memberi impak besar dalam mencorakkan permainan menyerang pasukan musim ini.
Barisan kejurulatihan masih diketuai oleh gandingan jurulatih tempatan, Coach Abg dan Coach Shidi, yang kekal diberi mandat untuk memimpin pasukan. Musim ini mereka tampil dengan pendekatan lebih menyerang dan dinamik bagi memberi cabaran sengit kepada pasukan lawan.
Dari sudut pembangunan jangka panjang, Pulau Pinang Futsal terus komited memberi kepercayaan kepada pemain muda khususnya bekas pemain SUKMA. Pemain-pemain muda ini kini menjadi nadi penting pasukan, mencerminkan hala tuju pasukan dalam membangunkan bakat tempatan.
Dari sudut sokongan, pasukan turut mendapat tajaan daripada beberapa pihak. Tra Express tampil sebagai penaja utama, disertai rakan penaja seperti Gula Prai, GTR Garage, Vista Baiduri, TP Physiotherapy dan Kin Aroi, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan pengurusan pasukan.
Pulau Pinang Futsal turut menzahirkan penghargaan kepada semua penyokong yang sentiasa setia di belakang pasukan. Mereka berjanji akan memberikan aksi bertenaga dalam setiap perlawanan, sekaligus membawa nama negeri ke tahap lebih tinggi.
“Haria Penang! Haria!” terus menjadi semboyan semangat buat seluruh skuad dan penyokong dalam mengharungi musim penuh cabaran ini.

