Terbaru

Marlon Oliveira bakal beraksi di MPFL 2026?

Sekitar sebulan yang lalu, satu maklumat awal mula berlegar dalam kalangan komuniti futsal tempatan apabila Selangor FC Futsal menerima khabar daripada seorang rakan ejen pemain di Brazil mengenai seorang pemain bertaraf dunia yang berkemungkinan bakal menyertai pasukan. Pemain tersebut bukan calang-calang nama seorang Fixo elit, juara Piala Dunia Futsal bersama Brazil, dan sehingga kini masih menjadi tonggak utama skuad kebangsaan negaranya, Marlon Oliveira.

Pada waktu itu, tiada sebarang pengesahan rasmi dikeluarkan sama ada oleh pihak pemain mahupun kelab lamanya. Situasi tersebut menjadikan berita berkenaan sekadar spekulasi, namun tetap mencuri perhatian kerana latar belakang dan reputasi besar yang dimiliki oleh Marlon Oliveira dalam arena futsal dunia.

Spekulasi tersebut mula mendapat perhatian lebih meluas apabila sebuah akaun media peminat terkenal Brazil, @radiocoringao, yang memfokuskan liputan kelab Corinthians, memuat naik laporan berkaitan masa depan pemain berkenaan. Perkongsian itu menjadi petunjuk awal bahawa perpindahan Marlon Oliveira ke Asia Tenggara bukan lagi sekadar khabar angin.

Kini, segala persoalan akhirnya terjawab. Nama Marlon Oliveira (@marlonoliiveiira) secara rasmi dipaparkan dalam poster skuad futsal Brazil yang dipanggil menyertai latihan pusat kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Copa Amรฉrica Futsal 2026. Lebih menarik, rekod kelab semasa pemain tersebut turut dikemas kini, dengan Selangor FC Futsal disenaraikan sebagai kelab yang diwakilinya.

Perkembangan ini bukan sahaja mengesahkan kehadiran seorang bintang dunia ke kancah futsal Malaysia, malah menjadi satu pengiktirafan besar terhadap Selangor FC Futsal sebagai destinasi baharu pemain bertaraf antarabangsa. Kehadiran Marlon Oliveira dijangka memberi impak besar dari segi kualiti permainan, pengalaman, serta pembangunan futsal tempatan secara keseluruhan.