Mampukah Malaysia melupakan Episod Tewas 0-12 dengan Thailand? Skuad Futsal Wanita Thailand Sudah Bersedia!

Bila dengar nama Thailand saja pasti peminat futsal sudah tahu mereka merupakan kuasa besar sukan ini bukan saja bagi kategori lelaki malah wanita juga.

Skuad futsal Thailand yang bakal turun mempertahankan kejuaraan di Sukan SEA 2021 mendapat aura semangat baru apabila mereka dinobatkan sebagai juara di NSDF Women’s Futsal Championshoips 2022. Satu kejohanan yang melibatkan 5 pasukan dan bermain secara liga satu pusingan.

Antara pasukan yang terlibat Thailand dan Myanmar yang turut akan bertanding di Sukan SEA 2021, Vietnam nanti. Selain itu 3 pasukan lain adalah Indonesia, All Star Thai dan South Perth daripada Australia.

Di perlawanan terakhir kejohanan ini Thailand terikat seri 1-1 dengan Indonesia. Tapi keputusan itu cukup untuk skuad kendalian Surapong Plaiyuwong dinobatkan juara dengan kelebihan jaringan gol di kedudukan pasukan secara keseluruhan.

Thailand juga meraih kejayaan lain apabila kapten mereka Jiraprapa Nimrattanasing dinobatkan sebagai MVP kejohanan dan Darika Peanpailun mendapat anugerah penjaring terbanyak. Jiraprapa juga merupakan pemain yang membantu Thailand menjulang kejuaraan di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Jika melihat skuad Thailand di NSDF Women’s Futsal Championshops 2022 ini, lebih kurang 9 pemain berada dalam skuad yang beraksi ketika di Kuala Lumpur pada 2017. Pengalaman pemain ini masih menjadi kekuatan Thailand.

Ini bakal menjadi lawan yang sukar buat Malaysia nanti di Sukan SEA 2021. Malaysia akan bertemu Thailand di perlawanan pembukaan pada 15 Mei depan. Kita mempunyai rekod yang kurang baik di pertemuan terakhir ketika Sukan SEA 2017 dimana Malaysia tewas dengan jaringan 0-12 kepada Thailand.

Jika melihat dengan persediaan yang boleh dikatakan kurang cukup untuk skuad kendalian Jamhuri Zainuddin nanti sukar untuk kita meraih mata untuk pertemuan dengan Thailand tapi kita harapkan jurang tidak terlalu besar dan para pemain memberikan persembahan yang terbaik.

Sumber Foto: Futsal Thailand