KELANTAN SIAP SEDIA UNTUK PERTAHANKAN KEJUARAAN MPFL DIVISYEN 2 2025

Disaat peminat sukan bola sepak tempatan secara amnya dahagakan aksi dan laungan keramat “Gomo Kelate Gomo” di lapangan, luka terubat apabila juara bertahan, Kelantan , sah akan bersaing semula dalam MPFL Divisyen 2 musim 2025.

Kelantan kini bersiap sedia memulakan kempen baharu dengan semangat juang yang tinggi dan misi utama: mempertahankan kejuaraan serta terus mengukuhkan reputasi sebagai antara kuasa besar futsal negara.

Pasukan telah melengkapkan senarai penuh 20 pemain tempatan, termasuk empat penjaga gol, merangkumi keseimbangan antara pengalaman dan tenaga muda. Antara pemain utama yang kekal ialah Aqil Khalis, Aqim Salihuddin, Izzat dan Azim watak penting dalam kejayaan musim lalu.

Kelantan turut kehilangan Luqman Tan, yang kini menyertai Kedah, pasukan yang sedang mencipta nama dalam MPFL Divisyen 1.

Namun, kekuatan baharu hadir menerusi bakat muda seperti Fariss, Qayyum, Aidi, Haiqal Ali, serta penjaga gol berpengalaman, Ammar Harith bekas pemain Terengganu MPFL 2024. Kehadiran mereka dijangka membawa nafas segar dalam aspek taktikal dan persaingan dalaman pasukan.

Sebagai sebahagian daripada persediaan awal, Kelantan FT bakal mengadakan siri perlawanan pra-musim di Kuala Lumpur pada 9, 10 dan 11 Mei 2025, menentang tiga pasukan pilihan iaitu Negeri Sembilan United, Canaan FC dan ATM — satu ujian penting menjelang sepak mula musim baharu.

Barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan turut memainkan peranan penting dalam membentuk kekuatan pasukan musim ini. Berikut adalah struktur rasmi pasukan Kelantan FT bagi musim 2025:

Pengurus Pasukan: Wan Muhammad Firdaus
Penolong Pengurus: Wan Muhammad Hasbi
Pegawai Pasukan: Mohd Saiful Afezan, Wan Muhammad Hafiz, Mohd Shahimi
Ketua Jurulatih: Mohd Fadhil Yusoff
Penolong Jurulatih: Nik Muhammad Amin
Jurulatih Kecergasan: Ariff Rosli
Jurulatih Penjaga Gol: Wan Muhammad Aizat
Pembantu Jurulatih: Muhammad Syafiq Danial
Kitman: Mohd Farid Aziz
Pembantu Kitman: Muhammad Aiman
Fisioterapi: Nek Ahmad Kamil
Unit Media: Muhammad Hasibi, Muhammad Mahzam

Matlamat kami jelas, untuk mempertahankan kejuaraan MPFL Divisyen 2. Namun, kami juga realistik dan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya berada dalam kelompok empat teratas liga,” ujar pengurus pasukan En Wan Muhammad Firdaus.

Dengan semangat juang tinggi dan sokongan padu daripada seluruh rakyat Kelantan, Kelantan FT bersedia untuk mencetuskan semula gegaran “Gomo Kelate Gomo” di pentas futsal kebangsaan.