Category: MPFL

Senarai penuh pasukan MPFL 2021

PETALING JAYA (ISNIN, 3 Mei 2021): Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan secara rasmi nama 32 pasukan daripada persatuan bola sepak negeri dan kelab yang bakal beraksi pada Malaysia Premier Futsal League (MPFL) bagi musim 2021. 

20 pasukan bagi kategori lelaki akan memulakan kempen MPFL musim ini bermula Jun ini sementara 12 lagi pasukan bagi kategori wanita akan memulakan saingan mereka bermula Ogos ini.

Senarai pasukan lelaki itu terdiri daripada Kedah, Sarawak, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor MAC, Pahang Rangers FC, KL City FC, KPT-PST Mustangs termasuk 9 pasukan baharu iaitu Sabah, Melaka, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelantan United, Kelantan FC, Sarawak United, Shah Alam City, Selangor TOT United dan PDRM FC.

Manakala bagi pasukan wanita pula terdiri daripada Kuala Lumpur, Melaka, Sabah, Sarawak, FC Langkawi, KPTM Bangi, Pahang Rangers FC, Kuala Lumpur Prefer FC, Selangor MBSJ FC, Selangor MBPJ FC, Perak SSCJ dan PDRM FC.

Senarai penuh pasukan MPFL 2021 bagi kedua-dua kategori itu telah diumumkan pada Majlis Undian MPFL 2021 yang telah berlangsung hari ini, di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Naib Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail berkata, FAM telah menjalankan saringan dokumen yang terperinci sebelum meluluskan permohonan pasukan untuk beraksi di MPFL 2021.

“Dengan pembatalan MPFL musim 2020 kerana pandemik COVID-19 tahun lalu, kehadiran pasukan-pasukan lama dan baharu di dalam pertandingan ini akan menyerikan lagi saingan MPFL 2021 menerusi corak permainan yang dijangka bertambah sengit serta kompetitif dengan pelaksanaan pendaftaran seorang pemain asing bagi kedua-dua kategori.

“Menerusi proses saringan ini, FAM berpeluang untuk memperkenalkan struktur sukan futsal dan juga mendidik pasukan-pasukan ini mengenai pengurusan dan pentadbiran pasukan futsal di peringkat kebangsaan.

Majlis itu turut dihadiri oleh Exco FAM, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai FAM, ahli-ahli Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai FAM serta Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Pada majlis berkenaan, FAM turut mengumumkan CUCKOO sebagai penaja utama MPFL bagi musim 2021 serta rakan-rakan penaja MPFL musim lalu iaitu Yoodo, Joma, 100PLUS, Firefly, Kaki Jersi dan Astro juga akan meneruskan sokongan serta tajaan mereka bagi musim 2021 ini.

“Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa tujuh rakan penaja rasmi MPFL 2020 akan meneruskan komitmen mereka bersama kami untuk musim ini termasuk Astro yang bakal membawa aksi perlawanan MPFL secara langsung di saluran Astro Arena pada tahun ini.

“Kami di FAM sangat berterima kasih di atas sokongan serta komitmen yang telah ditunjukkan oleh penaja-penaja MPFL iaitu CUCKOO, Yoodo, Firefly, Astro, Kaki Jersi, 100plus dan Joma, yang jelas mencerminkan kredibiliti MPFL untuk memberi nilai tambah kepada produk dan jenama mereka,” kata Datuk Seri Haji Rosmadi.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO International (MAL) Sdn Bhd, Encik Hoe Kian Choon (KC Hoe) juga meluahkan rasa berbesar hati dengan jalinan kerjasama yang berterusan di antara CUCKOO dan FAM.

“CUCKOO sangat teruja dengan kehadiran MPFL tahun ini lebih-lebih lagi selepas pandemik COVID-19 tahun lalu telah memaksa arena bola sepak negara termasuk juga futsal direhatkan daripada sebarang pertandingan.

“Saya percaya sambutan MPFL tahun ini akan lebih meriah daripada tahun-tahun sebelumnya dan kami di CUCKOO mahu menjadi sebahagian daripada kemeriahan bola sepak dan futsal untuk musim ini dan juga di masa hadapan. 

“Menerusi usaha ini yang membolehkan kami memainkan peranan dalam membangunkan arena sukan atau bola sepak negara, kami juga berharap bahawa CUCKOO, sebagai sebuah Pencipta Kediaman Sihat (Healthy Home Creator), akan menggalakkan dan mendorong lebih ramai orang untuk memiliki kehidupan yang lebih sihat,” kata Kian Choon (KC Hoe).

Taklimat pasukan MPFL telah dijalankan pada 27 April lalu secara dalam talian bersama FAM di mana sesi taklimat itu telah membincangkan tentang garis panduan serta maklumat berkaitan kepengadilan, peraturan serta protokol operasi pertandingan dan lain-lain hal.

Pada Majlis Undian MPFL 2021 itu, pasukan-pasukan bagi kategori lelaki telah diasingkan ke dalam tiga balang iaitu balang 1, yang terdiri daripada 4 pasukan terbaik bagi MPFL musim 2019, balang 2, yang terdiri pasukan daripada Borneo dan Universiti dan selebihnya di balang 3 sebelum diundi masuk sama ada ke dalam Kumpulan A dan Kumpulan B.

Manakala bagi kategori wanita yang terdiri daripada 12 pasukan pula akan diundi masuk ke dalam dua kumpulan iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B yang terdiri daripada pelbagai pasukan dari Utara, Timur dan Selatan dan Tengah (termasuk pasukan dari Borneo).

Saingan Kategori Lelaki akan berlangsung dari 12 Jun hingga 28 Ogos 2021 dengan peringkat kumpulan dan disusuli peringkat kalah mati (Suku Akhir, Separuh Akhir, Penentuan Tempat Ke-3/Ke-4 & Final)

Sementara itu, Kategori Wanita pula akan berlangsung dari 12 hingga 22 Ogos 2021 dengan peringkat kumpulan yang juga disusuli peringkat kalah mati (Suku Akhir, Separuh Akhir, Penentuan Tempat Ke-3/Ke-4 & Final).

Selepas diperkenalkan pada 2019, edisi kedua MPFL tahun lalu menyaksikan saingan kategori lelaki yang disertai 12 pasukan hanya sempat berlangsung satu Hari Perlawanan sebelum ditangguhkan ekoran pandemik COVID-19 dan kemudian dibatalkan terus pada 1 Jun 2020 bersama-sama saingan kategori wanita yang belum sempat dimulakan.

6 Perlawanan Futsal Untuk Anda Tengok Minggu ini!

Buat peminat futsal yang rindu untuk tengok perlawanan futsal, FiveTV membawakan kepada anda 6 perlawanan pra musim Malaysia Premier Futsal League 2021 bermula Rabu ini secara langsung.

4 pasukan akan terlibat dalam siri perlawanan pra musim ini iaitu pasukan Pahang Rangers, Sabah, Penang dan juga Kuala Lumpur City. Persediaan bagi menghadapi MPFL yang dijangka bermula pada Jun depan. Seperti kita tahu Pahang Rangers, Penang dan KL City merupakan pasukan yang bertanding di MPFL sebelum ini manakal Sabah bakal membuat debut nanti.

Bagi penonton yang mahu lihat perlawanan ini, FiveTV menawarkan pakej dengan harga RM 10 untuk sehari dua perlawanan atau untuk lebih jimat boleh dapatkan tiket untuk tonton semua perlawanan dengan harga RM 25.

Untuk pembelian tike anda boleh layari https://fivetv-play.com/tickets/ dan perlawanan ini semua anda boleh tonton menerusi aplikasi PLAY yang boleh download di Google Play atau pun Apple Store.

Berikut merupakan Jadual Perlawanan:
31 Mac
8.00pm Pahang Rangers FC vs Sabah FA
9.30pm Kuala Lumpur City FC vs Penang FA

2 April
8.00pm Kuala Lumpur City FC vs Pahang Rangers FC
9.30pm Penang FA vs Sabah FA

4 April
2:30pm Penang FA vs Pahang Rangers FC
4:00pm Kuala Lumpur City FC vs Sabah FA

Langkah Terpuji Dari Pengurusan Pahang Rangers.

Dalam konteks sukan tidak kira sukan individu mahupun berpasukan komunikasi salah satu elemen penting untuk menjadikan apa yang ingin direalisasikan daripada jurulatih dapat dilakukan dengan baik oleh setiap pemain/atlet.

Itu yang cuba dilakukan pasukan futsal Pahang Rangers apabila pihak pengurusan menerusi bekas guru dan juga jurulatih untuk pasukan ini Coach Vijay (Jurulatih Pembangunan) mengambil inisiatif untuk melakukan kelas Bahasa Melayu untuk dua jurulatih mereka Coach Gerard Casas (Ketua jurulatih) dan Coach Marta Cordero (Jurulatih Kecergasan) yang berasal dari Sepanyol.

Satu langkah yang baik untuk dua jurulatih sertai kelas Bahasa Melayu ini kerana ia dapat membantu mereka untuk berkomunikasi dengan baik bersama pemain nanti. Jika mereka dapat memahami dan boleh bercakap dengan cepat dalam Bahasa Melayu, ia mungkin akan memberikan kelebihan untuk persediaan pasukan ini menjelang Malaysia Premier Futsal League nanti.

Untuk proses ini kami rasakan Coach Gerard dan Coach Marta tidak akan mengalami masalah kerana para pemain, barisan jurulatih lain malah masyarakat sekeliling boleh memberikan bantuan untuk mereka menguasai Bahasa Melayu.

Apa yang menarik pengurusan Coach Vijay bukan saja melakukan kelas buat jurulatih malah ada buat kelas Bahasa Inggeris untuk pegawai pasukan dan para pemain yang berkelapangan.

Tahniah atas inisiatif ini Pahang Rangers!

Damon Shaw Ucap Selamat Tinggal kepada Perak FA

Mungkin ramai yang tak tahu siapkah orangnya di sebalik nama Damon Shaw ini. Dia adalah ketua jurulatih bagi pasukan futsal Perak.

Diumumkan pada Februari tahun ini, jurulatih dari United Kingdom ini bertanggungjawab untuk membawa pasukan futsal Perak ke satu tahap yang lebih baik.

Tapi disebabkan pandemik Covid-19 pasukan futsal Perak juga terkesan kerana saingan Malaysia Premier Futsal League tahun ini dibatalkan sekaligus coach Damon tidak dapat melakukan apa-apa dengan ketiadaan latihan serta kejohanan.

Menerusi perkongsian coach Damon, dia akan tamat kontrak pada esok (31 Disember) dan selepas itu bebas untuk menyertai mana-mana pasukan yang memerlukan khidmatnya.

Difahamkan Perak Futsal masih belum boleh menawarkan kontrak baru kepada coach Damon kerana masih dalam perbincangan pengurusan tentang bajet serta hala tuju skuad ini tahun depan.

Atas sebab keadaan semasa, coach Damon akan terus kekal di Malaysia dalam masa sama mencari peluang baru di sini mahupun negara lain.

Semoga berjaya kami ucapkan kepada coach!

RM20 Juta Untuk Selangor FA

Persatuan Bolasepak Selangor FAS mendapat suntikan dana RM 20 juta dari kerajaan negeri Selangor. Ianya diharapkan bakal memberikan kelebihan kepada pasukan futsal negeri Selangor juga khasnya.

Pasukan futsal Selangor adalah kuasa besar dalam saingan peringkat kebangsaan. Ianya juga jelas terbukti mereka adalah juara sulung liga pro kita iaitu Malaysia Premier Fusal League 2019.

“Kita berterima kasih kepada sokongan kerajaan negeri dan kita akan mencari lagi penajaan untuk musim depan. Apapun, kita akan memanfaatkan sebaiknya dana yang diperoleh untuk memastikan pembangunan bola sepak di Selangor ditingkatkan lagi termasuk pusat latihan skuad Merah Kuning. Ujar S/U Agung Dr Johan Kamal Hamidon yang dipetik dari Berita Harian Online.

Alangkah sesuatu yang menarik sekiranya Selangor merupakan pasukan yang pertama memiliki fasiliti futsal seperti padang latihan dan stadium untuk menjadi tempat berjuang pasukan red giant ini. Diharapkan kita dapat disajikan dengan aksi MPFL bagi 2021.

Peminat futsal mula rindukan aksi pantas dan volley-volley menarik ketua pasukan Farid Mohammad.

Rangkuman MPFL 2020 Minggu 1

Tamat 6 perlawanan minggu pertama Malaysia Premier Futsal League 2020 dengan secara keseluruhan 50 gol berjaya dijaringkan. Ini rumusan kami untuk perlawanan-perlawanan minggu ini:

Pahang Rangers 9-1 Sarawak
Selaku pasukan pilihan Pahang Rangers tidak menghadapi masalah untuk meraih kemenangan pertama di laman sendiri. Formasi & corak permainan oleh jurulatih baru, Gerard Casas nampak mudah difahami para pemain yang boleh dikatakan serba lengkap luar dan dalam. Namun untuk perlawanan pertama ini tiada kelibat pemain import mereka Fineo akibat kecederaan.

Negeri Sembilan 4-3 Perak
Perlawanan tampak lebih berpihak kepada Perak yang lebih menguasai permainan namun pasukan baru, Negeri Sembilan berjaya menewaskan mereka dalam satu perlawanan yang sengit. Menarik untuk melihat gandingan Sufri Shamil & Asyraff Jalal yang menjadi tunjang utama untuk kemenangan mereka. Kemenangan mereka juga dibantu oleh ketangkasan bekas penjaga gol Melaka United, Syahman Idris.

Kuala Lumpur 6-4 Pulau Pinang
Kuala Lumpur yang kini dibimbing oleh Addie Azwan berjaya mencatat kemenangan pertama mereka. Kehadiran beberapa pemain pengalaman bersama KL tahun ini memberikan kelebihan buat mereka. Paling mencuri tumpuan dalam Shah Azman yang turut menjadi pemain terbaik perlawanan dengan 3 gol sumbangan pemain asal Klang ini.

Terengganu 10-3 Kedah
Pasukan no. 4 musim lepas, Terengganu bermula garang dengan kemenangan besar di laman sendiri. Peningkatan nampak terhadap para pemain Terengganu musim ini yang majoriti dikekalkan dari musim lepas. Mereka masih kekal dengan corak permainan yang pantas (counter attack) & nampak sentuhan mereka lebih tajam kali ini. Alif Mat Amin & Hafiz Ismail antara yang mencuri tumpuan dengan masing-masing menjaringkan 3 gol untuk pasukan mereka.

Kelantan 4-1 KPM PST Mustangs
Pertemuan dua pendatang baru ini berpihak kepada pasukan tuan rumah. KPM PST Mustangs terlebih dahulu mendahului perlawanan sebelum kapten Kelantan, Aqim Salihuddin menjaringkan gol penyamaan 2 minit selepas itu. Mereka terus mengawal permainan dengan tambahan 3 lagi gol menerusi Luqman Yaakob (2) & Aqil Khalis (1)

Selangor MAC 3-2 KL City FC
Perlawanan paling menarik untuk minggu pertama. KL City turun dengan disiplin pertahanan yang baik & berjaya menghalang serangan-serangan pasukan lawan. Mereka terus melakukan kejutan dengan 2 gol pendahulan oleh Raziq & Saidi. Hampir meraih kemenangan pertama namun 4 minit terakhir menjadi pemusnah buat pasukan KL City, pengalaman Selangor selaku juara bertahan berjaya membantu mereka bangkit dengan 3 gol Syed Aizad Daniel yang hadir menerusi permainan power play.

CUCKOO Piala Futsal Malaysia 2020

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan CUCKOO, jenama peralatan rumah terkemuka sebagai rakan penaja terbaharu menjelang tirai 2020 yang akan disingkap tidak lama lagi.

Dengan perjanjian yang ditandatangani untuk tempoh bermula 1 November 2019 hingga 31 Disember 2020 itu, CUCKOO akan menjadi Penapis Air & Penapis Udara Rasmi (bagi kategori peralatan rumah) kepada pasukan-pasukan kebangsaan, Harimau Malaya dan juga FAM.

Selain itu, CUCKOO turut akan menjadi penaja utama bagi Piala Futsal Malaysia 2020, saingan peringkat piala yang akan diperkenalkan buat pertama kalinya pada saingan musim kedua Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2020. Saingan peringkat piala ini akan disiarkan melalui Astro tahun depan, sebuah batu loncatan buat kedua-dua pihak di dalam industri sukan tempatan.

Majlis menandatangani perjanjian penajaan itu berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini di antara Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Encik KC Hoe sambil disaksikan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Haji Rosmadi bin Ismail bersama Ketua Pegawai Pemasaran CUCKOO, Queenie Goh.

Datuk Haji Rosmadi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM cukup berbesar hati dengan kesudian syarikat antarabangsa seperti CUCKOO Malaysia untuk tampil sebagai penaja bagi Piala CUCKOO Malaysia 2020.

Beliau berkata: “Ini merupakan suatu pencapaian yang sangat membanggakan kerana jenama Korea yang terkemuka tampil ke hadapan untuk menjadi rakan rasmi FAM bagi pembangunan futsal dan bola sepak negara.

“Terima kasih kepada CUCKOO kerana sudi untuk tampil juga sebagai penaja utama bagi Piala Futsal Malaysia. Sudah tentu, nama anda akan tercatat dalam sejarah futsal negara dan bola sepak kerana bersama-sama dengan FAM dalam penganjuran edisi pertama Piala pertandingan futsal kebangsaan secara profesional di Malaysia.”

KC Hoe pula menambah: “Sejak penubuhan CUCKOO di Malaysia pada tahun 2014, salah satu matlamat kami adalah untuk membawa kebaikan kepada semua pelanggan kami. Ini termasuk usaha kami untuk mengadakan kempen-kempen tanggungjawab sosial korporat seperti kempen Hari Air Sedunia CUCKOO berjudul “Just 1 Cup”.

“Pada awal tahun ini, kami bekerjasama dengan Pahang Rangers F.C dalam perjuangan mereka dalam Malaysia Premier Futsal League (MPFL). Oleh itu, kami amat bangga dapat berpeluang untuk bekerjasama bersama FAM dan kami percaya bahawa kolaborasi ini dapat menjadi sebuah inisiatif pembangunan industri sukan tempatan. Dalam pada itu, CUCKOO juga ingin membantu meningkatkan kemahiran bakat tempatan, selain memupuk bakat baharu.”

Dengan kehadiran CUCKOO ke dalam keluarga FAM ini, 80 mesin penapis air dan penapis udara CUCKOO turut akan ditempatkan di Wisma FAM termasuk di ruang pejabat serta kafeteria dan bilik asrama para pemain bagi memberikan persekitaran yang segar dan sihat di pusat pentadbiran bola sepak negara ini.

Kerjasama tersebut akan membawa kebaikan kepada atlet-atlet kebangsaan dan pasukan Harimau Malaya di mana mereka dibayangkan untuk tinggal di rumah yang lebih sihat bersama CUCKOO.

Kuala Lumpur City Sahut Cabaran 4 Penjuru MNC Futsal Championship 2019

Setelah pasukan Iraq menarik diri disaat akhir kejohanan futsal jemputan MNC yang bakal berlangsung di Yogyakarta tanggal 6 hingga 8 September ini. KL City pasukan yang berpengkalan di Kuala Lumpur kini telah mengesahkan penyertaan dan bakal bertemu 3 lagi pasukan hebat dirantau asia iaitu Uzbekistan, Taiwan & pasukan tuan rumah iaitu Indonesia. Harus kita ingat Uzbekistan merupakan pasukan yang bermain di pentas piala dunia.

Pasukan tuan rumah pula semestinya menurunkan barisan terbaik mereka setelah persediaan fasa terakhir. Mereka mempunyai perancangan yang cukup teratur dengan beberapa siri perlawanan persahabatan di Thailand dan juga beberapa perlawanan persahabatan ‘sulit’ dimana semua media dan peminat futsal Indonesia tidak dibenarkan untuk membuat liputan dan juga menonton.

Sudah tentu ianya bukan sesuatu yang mudah bagi KL City, mereka telah memanggil pemain dari Pahang Rangers serta Kuala Lumpur FA bagi menguatkan pasukan. Objektif utama mereka adalah untuk memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda dengan tahap yang lebih kompetitif.

Jadual perlawanan bagi pasukan KL City seperti berikut
————————————————-
Jumaat 6 Sept – KL City x Uzbekistan 9:30 WIB
Sabtu 7 Sept – KL City x Taiwan 12:00 WIB
Ahad 8 Sept – KL City x Indonesia 14:00 WIB

Senarai pemain KL City
—————————-
Muhammad Addli Bin Che Husin
Yakish Rao a/l Kannanyadu
Jaya Prahkashrao a/l Kannanyadu
Faris Al Irfan Bin Mohd Nazmi
Iza Muhammad Hassan Bin Bostamam
Qaiser Heshaam Bin Abdul Kadir
Hazizi Bin Mansor
Mohd Alif Haiqal Bin Mohd Zaini
Iskandar Bin Harun
Muhammad Iqbal Aikal Bin Mohd Noor
Mohamad Aizat Bin Borhanudin
Mahadir Harahap Bin Khairuddin
Ahmad Hanafi Bin Mohd Nasir
Mohd Firdaus Bin Ambiah
Ahmad Azim Bin Mohammad
Muhammad Farhan Bin Khairul Anuar

Sembang Futsal – Mulhmim Muqri